Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media selepas selesai Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan sebagai Anggota Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia di Kementerian Komunikasi, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 JULAI 2025

PUTRAJAYA – Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi tidak berniat untuk mengawal mahupun memberi arahan kepada agensi media tempatan dengan penubuhan Majlis Media Malaysia.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebaliknya Majlis Belia Malaysia berdaya mampan dan mampu berdikari dalam menjadikan industri media lebih beretika dan bertanggungjawab pada masa hadapan.

“Harapan saya, iaitu rakan-rakan dalam lembaga asas majlis media, melihat bahawa hubungan kementerian dengan pihak industri media ini, kami sebagai membolehkan majlis media ini diwujudkan dan bergerak.

“Kami tidak ada niat untuk mengawal dan mengarahkan (agensi media). Kami mahu anda bebas untuk mempertimbangkan, berbincang, mengatur sesuatu.

“Kami ingin membantu dengan menyediakan sama ada dari segi perundangan, ataupun sedikit banyak pendanaan, membolehkan majlis media ini bergerak dengan lancar, terutama dalam tahun-tahun pertama,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan sebagai Anggota Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia, di Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (tengah) bersama Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching (empat kanan) bergambar bersama wakil penerima sijil Watikah Pelantikan sebagai Anggota Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia kepada wakil-wakil di Kementerian Komunikasi, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 JULAI 2025

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau tidak menolak kemungkinan Majlis Media Malaysia mampu berdikari dan boleh beroperasi dengan sendirinya pada masa akan datang.

“Majlis Media Malaysia mampu memimpin industri media yang penuh pancaroba, penuh cubaan dan cabaran.

“Ia akan membolehkan Malaysia memasuki satu era di mana bukan hanya media yang Insya-Allah lebih bebas, bahkan lebih beretika dan bertanggungjawab, tapi juga mempunyai sangat banyak kemampuan untuk mendepani zaman,” katanya.

Sementara itu, Fahmi memberitahu Majlis Media Malaysia akan mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) yang pertama pada 7 November ini.

“Saya telah diberi kebenaran oleh anggota lembaga pengasas pada 7 November. Lokasi dan masa akan diumumkan kelak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast