KUALA LUMPUR – Sembilan lelaki warga asing direman empat hari disyaki terbabit kes pergaduhan di sebuah tapak pembinaan di Bangsar, di sini yang tular di media sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Ahmad Firdaus Mustafa Kamal berkata, perintah reman ke atas kesemua suspek sehingga 18 Julai ini dibuat untuk siasatan lanjut.
Katanya, polis telah menerima laporan berhubung kejadian pergaduhan sekumpulan lelaki warga asing di lokasi itu sekitar jam 4.53 petang.
“Susulan itu, sepasukan polis ke lokasi kejadian dan menahan sembilan lelaki warga asing berusia 24 hingga 37 tahun dipercayai terlibat dalam pergaduhan itu.
“Sebanyak enam topi keselamatan berwarna kuning dan tiga batang besi scaffolding berwarna perak telah dirampas semasa serbuan disyaki digunakan semasa pergaduhan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata.
“Polis memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak terbabit sebarang aktiviti pergaduhan kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















