Recep Tayyip Erdoğan ketika melakukan pemeriksaan kawalan kehormat sebelum majlis mengingati peristiwa 15 Julai berlangsung.

ANKARA – Bendera Turkiye berwarna merah dihiasi bulan sabit dan sebutir bintang berkibar megah di bangunan-bangunan tinggi di sekitar bandaraya ini.

Di sebelah kiri dan kanan bendera itu masing-masing tergantung gambar bekas presiden pertama Turkiye yang juga bapa pengasas negara itu, Mustafa Kemal Atatürk serta presiden yang memegang kuasa sejak 2014 hingga sekarang Recep Tayyip Erdoğan.

Ia sebahagian aturcara mengingati cubaan rampasan kuasa Pertubuhan Pengganas Fetullahist (FETO) pada 15 Julai 2016 yang kini dikenali sebagai Hari Demokrasi dan Perpaduan Nasional.

Bangunan mengibarkan bendera dan gambar bekas presiden pertama Turkiye yang juga bapa pengasas negara itu, Mustafa Kemal Atatürk.

Di bangunan Parlimen, majlis peringatan yang hampir menumbangkang kerajaan demokrasi pimpinan Erdogan itu dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran disusuli bacaan doa iaitu tradisi Islam yang hampir dilupakan ketika negara ini memahat sistem pemerintahan sekular.

Dalam majlis mengenang ulangtahun peristiwa yang dianggap penuh kesakitan, kesedihan dan kemarahan itu, Erdogan berikrar untuk mempercepatkan abad Turkiye dan menegaskan dalam dunia multipolar negara itu akan mengambil tempat yang sewajarnya sebagai kutub baru.

“Kita tidak pernah meragui hal ini sama sekali. Kerana kita percaya kepada bangsa kita. Kita percaya kepada persaudaraan kita yang abadi. Kita percaya sepenuhnya kepada kemampuan demokrasi kita untuk menyelesaikan masalah.

“Saya yakin sepenuh hati bahawa Parlimen Besar Kebangsaan Turki, sama seperti malam 15 Julai, akan mengesampingkan semua perbezaan dan memberikan sokongan padu kepada perjuangan negara kita untuk membebaskan diri daripada keganasan dalam semangat perpaduan,” katanya.

Kedudukan Erdogan sebagai Presiden Turkiye diselamatkan oleh rakyat yang turun ke jalan raya menghalang tentera dan kenderaan yang membawa senjata dalam cubaan merampas kuasa.

Menurut Erdogan peristiwa 15 Julai 2016, walaupun telah berlalu beberapa tahun namun ia adalah titik paling kritikal dalam sejarah negara itu.

Menurut beliau, cubaan rampasan kuasa terbabit merupakan satu ujian sukar kepada rakyat Turkiye tetapi telah dilalui dengan berjaya sebagai negara dan bangsa dan ia menjadi contoh besar pengkhianatan besar yang dilalui dalam sejaran Turkiye.

“Jangan ada keraguan tentang ini, saudara-saudara yang saya kasihi. Semua ini telah terpahat dalam ingatan bangsa kita dan tidak akan terhapus.

“Mereka yang bertepuk tangan kepada rampasan kuasa, mereka yang cuba mencemarkan epik mulia yang ditulis pada 15 Julai, mereka yang melemparkan lumpur kepada kemenangan bangsa, dan mereka yang mengambil posisi mengikut keadaan, percayalah, akan sentiasa dikenang dengan rasa malu,” katanya.

Lebih 200 media termasuk 120 wartawan daripada 41 negara hadir pada majlis mengingati titik hitam 15 Julai.

Lebih 200 media termasuk 120 wartawan daripada 41 negara hadir pada acara berkenaan yang menyaksikan kawalan ketat diadakan dari luar hingga ke dalam kawasan parlimen.

Semasa percubaan rampasan kuasa, FETO menggerakkan lebih 10,000 anggota tentera dan awam, 35 pesawat tentera, 74 kereta kebal, 246 kenderaan perisai, tiga kapal tentera, 3,992 senjata dan 37 helikopter tentera.

Insiden itu menyebabkan sekitar 251 hingga 265 orang terbunuh dan lebih 2,000 cedera dengan kebanyakan daripada mereka adalah orang awam dan pasukan keselamatan yang setia kepada kerajaan.

Turut diserang termasuk dari udara menggunakan jet F-16 adalah bangunan Parlimen dan kediaman rasmi Kompleks Presiden.

Rakyat sanggup turut ke jalanan, menghalang pasukan bersenjata tanpa diri sendiri mempunyai apa-apa perlindungan hanya demi menyelamatkan sistem demokrasi sekali gus menghalang negara ini terjerumus daripada pemerintahan kuku besi yang dikuasai tentera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast