KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pelantikan Mohd Sabirin Mohd Sarbini sebagai Setiausaha MAIS yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan Mohd Sabirin menggantikan Dr Ahmad Shahir Makhtar yang menamatkan tempoh perkhidmatan beliau pada 15 Julai 2025.
Mohd Sabirin berkelulusan Sarjana Muda Perakaunan dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini pernah
berkhidmat di Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan beberapa syarikat korporat sebelum menyertai MAIS.
Sepanjang tempoh perkhidmatan di LZS, Mohd Sabirin memegang beberapa jawatan penting termasuk sebagai Ketua Divisyen Kutipan, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf dan jawatan terakhir sebelum ini adalah sebagai Ketua PegawaiEksekutif.
Selain itu, Mohd Sabirin juga merupakan Perancang Kewangan (RFP Syariah) yang berdaftar di bawah Malaysian Financial Planning Council (MFPC) dan
Ahli Persatuan Percukaian Malaysia (MATA) serta mempunyai tauliah mengajar negeri Selangor di bawah MAIS.
Pada masa sama, MAIS juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahmad Shahir atas sumbangan, kesetiaan dan khidmat bakti beliau dalam menjalankan tugas yang diamanahkan sepanjang pelantikan beliau sebagai Setiausaha MAIS sejak 16 Julai 2019 sehingga 15 Julai 2025.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah menerajui MAIS dengan penuh komitmen dan dedikasi dalam memperkasakan hal ehwal Islam di Selangor termasuk merealisasikan Pelan Strategik MAIS 2020-2024 merangkumi semua jabatan hal ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat MAIS. Beliau juga telah memperkasa perkhidmatan MAIS ke arah digitalisasi antaranya pembangunan Sistem e-Tauliah, Wasiat & Hibah (e-SISWA) dan e-Faraid.
Beliau turut menyumbang mengangkat nama MAIS ke peringkat antarabangsa sehingga MAIS menerima anugerah emas di International Convention on Quality Control Circle (ICQCC) di Colombo Sri Lanka, begitu juga penerimaan pelbagai anugerah oleh agensi dan anak syarikat MAIS. – MalaysiaGazetet
















