PUTRAJAYA – Peguam Negara (AG) merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak prosiding komital terhadap bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berhubung kenyataan terbukanya berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
Isham atau nama sebenarnya, Hizatul Isham Abdul Jalil dalam kenyataan menerusi laman Facebook hari ini berkata, beliau telah dimaklumkan berhubung pemfailan notis rayuan di Mahkamah Rayuan.
“Peguam Negara merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan saya dan masih bersungguh mahu saya masuk penjara atau didenda. Saya akan lawan,” katanya dalam kenyataan itu.
Peguam Negara dinamakan sebagai perayu manakala bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu dinamakan sebagai responden.
Sementara itu, peguam Jamie Wong yang mewakili Isham memberitahu pemberita, pihaknya menerima e-mel daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang melampirkan notis rayuan bertarikh semalam.
Perkara itu turut disahkan oleh peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika dihubungi hari ini.
Peguam Negara mengemukakan rayuan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim K. Muniandy pada 8 Julai lalu yang menolak prosiding komital yang diifailkan terhadap Isham.
Hakim Muniandy membuat keputusan itu setelah mendapati kenyataan yang dibuat Isham tidak menimbulkan risiko sebenar untuk menjejaskan keyakinan orang awam terhadap badan kehakiman.
“Tuduhan samar-samar bahawa responden (Isham) telah menghina badan kehakiman melalui kenyataan yang dipertikaikan.
“Apabila dilihat berdasarkan fakta dan konteks penerbitan, kenyataan itu tidak mendedahkan risiko sebenar terhadap keyakinan orang awam terhadap pentadbiran keadilan. Justeru, pemohon gagal membuktikan beban pembuktian (yang diperlukan).
“Penghinaan yang dibangkitkan tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan mahkamah yang mengendalikan perbicaraan dan rayuan kes 1MDB serta SRC.
“Kes itu telah pun diputuskan oleh mahkamah. Sehubungan dengan itu, apa yang dahulunya boleh dianggap sebagai menghina atau mengganggu keadilan, mungkin tidak lagi dianggap begitu hari ini,” kata hakim berkenaan.
Pada 4 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Isham, menerusi permohonan ex-parte yang difailkan pada 28 Disember 2023. Peguam Negara memohon perintah supaya Isham dihukum penjara atau denda kerana menghina mahkamah.
Isham mengeluarkan kenyataan itu dalam satu temu bual bertajuk “Townhall for Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa” yang dilaporkan memberikan komen terhadap perbicaraan dan rayuan Najib dalam kes SRC International dan 1MDB.
Komen itu kemudian disiarkan menerusi laman Facebook “The Malaya Post” pada 30 September 2023. – MalaysiaGazette















