Wan Rosdy Wan Ismail

 

KUANTAN – Pahang mencatat jumlah pelaburan direalisasikan tertinggi di Pantai Timur dengan nilai keseluruhan mencecah RM4 bilion sehingga Jun 2025.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, pencapaian itu mengatasi rekod di negeri-negeri lain seperti Terengganu (RM1.3 bilion) dan Kelantan (RM1.1 bilion).

“Pencapaian ini adalah hasil kerjasama erat dan usaha bersepadu pelbagai pihak termasuk agensi-agensi Kerajaan Negeri, syarikat berkaitan kerajaan negeri (S-GLC), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) serta para pemain industri dan komuniti pelabur.

“Pelaburan ini memperkukuh kedudukan ekonomi negeri, terutamanya dalam sektor-sektor strategik seperti pembuatan, minyak dan gas serta pelancongan, yang terus berkembang sebagai pemacu utama pertumbuhan negeri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata,  Pahang juga  merekodkan pelaburan komited bernilai RM3.5 bilion, sekali gus menggambarkan keyakinan tinggi pelabur terhadap kestabilan ekonomi dan iklim pelaburan yang kondusif di negeri ini.

Dalam pada itu, Wan Rosdy memberitahu, Pahang turut merekodkan jangkaan nilai pelaburan baharu berimpak tinggi sebanyak RM38.4 bilion.

“Dari sudut prestasi ekonomi pula, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang bagi tahun 2024 mencatat pertumbuhan 5.7 peratus, mengatasi purata nasional iaitu 5.1 peratus dengan nilai RM68.7 bilion, terbaik di Pantai Timur.

“Malah sejak tahun 2018, KDNK negeri ini telah mencatat peningkatan sebanyak 23 peratus, bersamaan nilai kira-kira RM13 bilion, suatu refleksi kepada pelaksanaan dasar pembangunan yang strategik, mampan dan menyeluruh,” tambahnya lagi.

Kejayaan ini membuktikan bahawa kestabilan politik, dasar yang konsisten, pembangunan infrastruktur moden serta ekosistem pelaburan yang mesra dan efisien menjadi pemangkin utama kemajuan negeri, tambah beliau.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan terus memperkasakan inisiatif pemudahcara pelaburan, mempercepat pelaksanaan projek strategik serta memperkukuh jaringan infrastruktur sokongan di seluruh negeri.

“Segala pencapaian ini adalah cerminan pelaksanaan Aspirasi Pahang 1st yang menekankan pertumbuhan ekonomi seimbang, peluang pekerjaan untuk rakyat serta agihan kemakmuran secara adil dan menyeluruh,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast