KUALA LUMPUR – Segala proses yang dikaitkan dengan kejadian provokasi semasa operasi meroboh struktur di Desa Pandan di sini telah dilaksanakan secara telus dan teratur mengikut prosedur sedia ada.
Ia termasuk libat urus bersama pihak terlibat.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yakin pelaksanaan projek itu akan memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk Desa Pandan dari segi peningkatan infrastruktur, keselamatan dan kemudahan awam.
“DBKL kekal komited untuk terus melaksanakan pembangunan bandar secara inklusif dan bertanggungjawab demi kesejahteraan warga kota Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.
DBKL juga memaklumkan berkenaan pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf jalan 2/76, Desa Pandan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya demi keselesaan serta keselamatan warga kota dengan mempertingkatkan kemudahan infrastruktur dan kelancaran aliran trafik.
“Bagi membolehkan pelaksanaan projek ini, DBKL telah menyelaraskan proses pengosongan peniaga yang menjalankan perniagaan di kawasan yang terlibat.
“Proses ini dilaksanakan melalui pendekatan libat urus dan penyampaian maklumat rasmi kepada semua pihak yang terlibat termasuklah persatuan peniaga dan peniaga-peniaga,” ujarnya.
Sebagai tindakan susulan, lesen perniagaan bagi sembilan tapak telah dibatalkan bermula 10 Januari 2025.
Semua peniaga dimaklumkan secara rasmi pada 15 Januari 2025 dan diminta mengosongkan tapak dalam tempoh yang ditetapkan.
Pada 4 Julai 2025, DBKL telah mengeluarkan notis pengosongan tapak sebagai langkah akhir sebelum tindakan perobohan dijalankan.
Kerja-kerja perobohan sepatutnya dilaksanakan pada 15 Julai lalu namun kerja-kerja tersebut ditangguhkan ekoran kekecohan yang berlaku baru-baru ini. – MalaysiaGazette
















