Muhammad Faiz Adli Mohd Khatib

MELAKA – “Saya lihat jenazah anak seperti sedang tidur… memang saya tunggu dia bangun tapi saya reda dan terima ketentuan Allah ini tanpa menyalahkan pihak taska,”.

Itu luahan sebak Muhammad Faiz Adli Mohd Khatib, 33, selepas kehilangan anak bongsunya, Saif Fahri, 6 bulan, yang ditemukan meninggal dunia ketika dalam jagaan pengasuh sebuah taska di Taman Melayu, Padang Temu, di sini, petang semalam.

Menurut peniaga nasi lemak itu, walaupun sedih dia dan isterinya, Nur Saadah Zamri, 33, tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak terutamanya taska kerana ia tidak boleh menyembalikan nyawa satu-satunya nyawa anak lelakinya daripada dua beradik itu.

Saif Fahri, 6 bulan, yang ditemukan meninggal dunia ketika dalam jagaan pengasuh sebuah taska di Taman Melayu, Padang Temu, Melaka, petang semalam.

“Saya marah-marah pun anak saya tak boleh hidup, anak saya dah mati… ini semua takdir Allah dan kalau Saif berada dalam jagaan saya pun, anak boleh meninggal dunia jika sudah sampai waktunya.

“Lagi pun, saya tahu (pengurusan) taska tu macam mana kerana anak sulung dulu pun saya hantar di taska itu sejak usianya tiga bulan dan tidak pernah ada sebarang masalah,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Perubatan Forensik Hospital Melaka, di sini, hari ini.

MalaysiaGazette hari ini melaporkan bayi berkenaan ditemukan meninggal dunia diperayai lemas dalam keadaan tertiarap dan badannya dibedung di atas tilam taska berkenaan petang semalam.

Nur Saadah menahan kesedihan namun tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak terutamanya taska.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, kejadian tragis menimpa bayi berkenaan disedari pengasuh taska berkenaan selepas menidurkan bayi berkenaan sejam sebelum itu.

Menurut sumber, bagaimanapun ketika hendak memantau keadaan bayi pada jam 5 petang, pengasuh yang menjaganya secara bergilir dengan pengasuh lain mendapati bayi tersebut dalam keadaan tertiarap dan mukanya kebiru-biruan.

Hasil pemeriksaan ke atas badan bayi berkenaaan mendapati tiada sebarang kesan perbuatan unsur jenayah sebelum pihak hospital membuat laporan polis.


Muhammad Faiz dan isterinya, Nur Saadah menahan kesedihan ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz yang beberapa kali dilihat mengalirkan air mata berkata, dia cuma berharap kejadian menimpa anaknya itu dapat dijadikan iktibar kepada pihak berkuasa khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Jadikanlah kes Saif ini sebagai asbab untuk JKM mengambil tindakan menyeluruh dan menutup segala kelompongan yang ada supaya kes begini tidak lagi berulang,” tambahnya.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Tanah Wakaf Perkuburan Islam As-Syakirin, Bachang, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast