Seorang pegawai agama tentera maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah treler muatan simen di Jalan Masjid Tanah- Sungai Udang, Kampung Solok Duku, Alor Gajah, awal pagi tadi.

ALOR GAJAH – Seorang pegawai agama tentera maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah treler muatan simen di Jalan Masjid Tanah- Sungai Udang, Kampung Solok Duku, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi itu, mangsa, Leftenan Muda Muhammad Akmal Mohamad Amjaduzzahwi, 24, yang merupakan Pegawai Agama Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (17 RAMD, Para) tersepit dalam kenderaan yang remuk sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan membeli makanan menaiki kereta jenis Perodua Myvi dari Kem Sungai Udang sebelum kereta dipandu bertembung dengan treler berkenaan.

Leftenan Muda Muhammad Akmal Mohamad Amjaduzzahwi

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian daripada orang awam pada jam 3.42 pagi.

“Sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah dikejarkan ke lokasi dan tiba lima minit kemudian sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit pada jam 4.11 pagi.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dihubungi di sini.

Tambahnya, pasukan bomba turut melakukan operasi membersihkan sisa kemalangan di tempat kejadian dan operasi tamat sepenuhnya jam 6.57 pagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast