Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

SHAH ALAM – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) belum membuat keputusan muktamad berhubung bentuk kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) meskipun perbincangan antara kedua-dua pihak telah dimulakan.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, setakat ini, parti itu hanya menyatakan kesediaan untuk berbincang dan meneroka bentuk kerjasama yang sesuai, sama ada melalui penyertaan dalam gabungan ataupun melalui pakatan elektoral.

“Masuk (PN) sebagai gabungan, itu masih terbuka untuk dibincangkan. Dalam pertemuan semalam (dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin), belum ada keputusan muktamad dibuat mengenai bentuk kerjasama yang boleh diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Pejuang 2025 di IDCC, Shah Alam.

Bagaimanapun, Mukhriz menyifatkan suasana semasa sebagai amat positif dan memberangsangkan serta membuka ruang untuk dialog yang lebih luas antara parti-parti pembangkang.

“Buat masa ini cukup sekadar kita bersikap terbuka untuk duduk semeja dan berbincang. Dari sudut pandangan saya, ini satu perkembangan yang sangat positif,” ujarnya.

Mukhriz turut menjelaskan Pejuang tidak menolak kemungkinan menjalin kerjasama dalam bentuk pakatan pilihan raya bagi mengelakkan pertembungan kerusi, terutama dalam usaha memperkukuh pertandingan satu lawan satu menentang kerajaan.

Mengimbau pengalaman dalam Pilihan Raya Negeri lalu, beliau berkata Pejuang pernah menarik diri daripada bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Jitra dan Anak Bukit di Kedah serta Jeram dan Batang Kali di Selangor bagi memberi laluan kepada PN.

“Ketika itu, kami serahkan sepenuhnya kepada PN, berkempen untuk mereka dan memastikan semua kerusi dimenangi PN. Ia terbukti berjaya.

“Sebarang bentuk kerjasama masa depan dengan mana-mana pihak tetap bergantung kepada isu semasa dan keserasian dalam pendirian,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast