Foto: FB Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan

KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak yang bercadang menganjurkan program khususnya yang berpotensi mengundang kontroversi atau kekeliruan wajib mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa berkaitan.

Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan, kegagalan mematuhi garis panduan dan prosedur boleh mencetuskan kesan yang tidak diingini serta mencemarkan keharmonian negeri.

Berhubung polemik serbuan yang didakwa melibatkan pesta gay di negeri itu, katanya, kerajaan negeri menyeru siasatan dijalankan secara rapi dan menyeluruh supaya tidak ada pihak yang menjadi mangsa salah faham, fitnah atau hukuman masyarakat sebelum kebenaran ditentukan.

Jelas beliau, sekiranya terbukti siasatan dan tindakan pihak polis berasas dan benar, tindakan tegas perlu diambil kepada pihak-pihak yang terlibat.

“Sebaliknya jika dakwaan pihak NGO dan individu terbabit itu betul, tindakan untuk memperbetulkan keadaan perlu diambil. Prinsip keadilan mesti ditegakkan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, polis Kelantan mendedahkan menyerbu satu perjumpaan yang didakwa menjurus kepada pesta gay melibatkan lebih 100 komuniti LGBT berusia antara 20 hingga 30-an di sebuah banglo di Kemumin, pertengahan Jun lalu.

Bagaimanapun, sekumpulan 31 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu menolak dakwaan polis itu dan menyifatkan perjumpaan itu adalah program bertujuan menyediakan maklumat kesihatan seksual dan berkaitan HIV, kondom, serta ujian secara sukarela untuk menggalakkan amalan seksual yang lebih selamat.

Sementara itu, Mohamed Fadzli turut menarik perhatian berkenaan dakwaan peserta program tersebut datang dari luar Kelantan dan tidak melibatkan penduduk di negeri tersebut.

Ujar beliau, sekiranya dakwaan itu benar, maklumat berkenaan juga perlu diperjelaskan secara terbuka supaya rakyat Kelantan yang tidak berdosa tidak menjadi mangsa tuduhan dan cercaan.

Tegasnya, ketelusan fakta amat penting untuk mengelakkan masyarakat daripada bersangka buruk dan menghukum tanpa asas.

“Kita akan terus istiqamah dalam mempertahankan prinsip Membangun Bersama Islam serta berpegang teguh kepada pendekatan yang tegas tetapi berhemah, berpaksikan ilmu, keadilan dan rahmat Islam.

“Semoga bumi Serambi Mekah ini terus terpelihara daripada fitnah zaman dan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam menegakkan kebenaran dengan adab dan hikmah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast