MELAKA – Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan lemas di kolam renang rumah inap sebuah kondominium di Taman Kota Shahbandar, Kota Laksamana, di sini pagi tadi disahkan masih bertarung nyawa.
Perkara itu disahkan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem yang memaklumkan mangsa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Melaka.
“Ya, mangsa yang belum sedarkan diri sedang menerima rawatan di PICU Hospital Melaka,” katanya ringkas ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Sementara itu, waris keluarga kanak-kanak berkenaan ketika dihubungi MalaysiaGazette turut memaklumkan keadaan mangsa dan meminta orang ramai supaya terus mendoakan keajaiban Allah.
“Mangsa masih di PICU sedang bergantung kepada bantuan alat pernafasan dan saya memohon orang ramai supaya mendoakan ada keajaiban Allah untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Zahery Mohd Zailani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.45 pagi sebelum tiga jentera termasuk van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati seorang kanak-kanak lelaki Melayu berumur 7 tahun telah lemas dan dikeluarkan dari kolam renang oleh orang awam sebelum pasukan bomba sampai.
“Pasukan bomba cuba memberikan bantuan pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR) kepada mangsa yang tidak sedarkan diri namun dikatakan gagal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, mangsa kemudian di bawa ke Hospital Melaka oleh ambulans untuk tindakan seterusnya. – MalaysiaGazette
















