KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan keretakan hubungan dan kepercayaan dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) menunjukkan pembangkang tidak mempunyai hala tuju jelas untuk membela rakyat.
Malah Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, situasi itu juga memperlihatkan pembangkang terus dibelenggu perebutan kuasa dalaman.
Perbalahan terbuka berhubung siapa yang lebih layak diangkat menjadi Perdana Menteri di dalam PN, pelantikan jawatan penting serta proses membuat keputusan PN bukan gabungan matang tetapi terikat kepada kepentingan individu dan kelompok elit politik.
“Nak turunkan Anwar tapi berbalah sesama sendiri dan bergaduh siapa nak jadi PM, ingatkan bertengkarnya Pas dan Bersatu nak hapus cukai SST atau nak turunkan harga barang lebih murah,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Mahfuz turut mengambil contoh teguran Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini supaya berbincang dengan parti dalam gabungan PN sebelum sesuatu dasar mahu diumumkan.
Sementara itu, beliau menambah, ketika pembangkang terus bertelingkah berhubung soal kuasa, Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus komited mengangkat isu rakyat termasuk mengurangkan kos sara hidup, mencipta peluang pekerjaan sehingga kepada usaha menarik pelaburan berkualiti.
“Amanah menyeru rakyat agar tidak terpedaya dengan slogan palsu pembangkang yang kononnya bersatu nak turunkan Anwar sedangkan mereka sendiri tidak sepakat menentukan hala tuju politik mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
















