KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan selepas disyaki cuba menyembunyikan 22,000 batang rokok seludup dan enam ekor burung liar dilindungi di sebuah premis rumah kedai di Kampung Bukit Tandak, Rantau Panjang, Kelantan, semalam.
Serbuan kira-kira jam 12 tengah hari itu dilakukan oleh anggota Batalion 7 PGA menerusi Op Taring Wawasan Kelantan selepas menerima maklumat berhubung aktiviti penyeludupan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan dalam premis mendapati sejumlah rokok putih dipercayai diseludup disorokkan di dalam tandas.
Manakala di kawasan luar premis pula, anggota PGA menemui lima ekor burung spesies Murai Batu dan seekor burung spesies Dendang Selayang.
Kedua-dua spesies burung tersebut merupakan haiwan yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
“Kesemua barang dirampas dan anggaran nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM56,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Pasir Mas dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(e) Akta Kastam 1967 serta Jadual Pertama dan Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. – MalaysiaGazette.















