Home Nasional Penunggang motosikal cedera terkena tali layang-layang di MRR2

Penunggang motosikal cedera terkena tali layang-layang di MRR2

KUALA LUMPUR – Gara-gara tali layang-layang merentang di tengah jalan, seorang penunggang motosikal nyaris kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Taman Tasik Metropolitan, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, mangsa lelaki berusia 27 tahun cedera selepas lehernya terkena tali layang-layang itu.

“Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Batu Caves menghala ke Sri Damansara pada pukul 6 petang dan dia tidak menyedari kehadiran tali layang-layang itu semasa di lorong tengah.

“Kemudian secara tiba-tiba tali layang-layag itu tersangkut pada badan seterusnya ke leher sebelum tali itu terputus mengakibatkan mangsa kecederaan lecur di leher.

“Bagaimanapun, mangsa sempat memberhentikan motosikalnya di tepi jalan dan telah mendapatkan rawatan di klinik swasta,” katanya dalam kenyataa hari ini.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 80 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membahayakan pengguna jalan raya dengan membiarkan tali melintang di atas jalan.

“Orang ramai diingatkan tidak menerbangkan layang-layang berhampiran lebuh raya atau jalan utama kerana perbuatan itu boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya,”jelasnya.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki cedera di bahagian leher setelah terkena tali layang-layang ketika menunggang motosikal di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast