Tun Zaki.

GEORGE TOWN – Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi mencadangkan agar sistem Mahkamah Syariah seluruh negara melaksanakan reformasi dalam menangani isu penangguhan kes yang berpanjangan sekali gus menjejaskan keadilan.

Menurut beliau, kelewatan penyelesaian kes bukan sahaja membebankan sistem kehakiman malah menganiaya pihak yang tidak bersalah, terutama dalam kes perceraian dan tuntutan nafkah.

Bagaimanapun, Zaki menjelaskan, penangguhan kes di mahkamah bukan berpunca daripada satu pihak semata-mata sebaliknya melibatkan pelbagai faktor termasuk permohonan penangguhan oleh peguam dan ketidaksediaan pendakwa dalam mengendalikan prosiding bagi kes jenayah.

“Hakim selalu dipersalahkan bila kes lambat walhal sistem itu melibatkan banyak komponen, contohnya ada kes di mana peguam minta tangguh, pendakwa tak bersedia, saksi tak datang.

“Mahkamah adalah alat keadilan tapi kalau kes tangguh bertahun-tahun, kita sebenarnya menafikan keadilan itu sendiri selain yang terseksa ialah mereka yang tidak bersalah.

“Bagi saya, hakim-hakim mesti bertegas, tolak permohonan penangguhan yang dibuat tanpa alasan munasabah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Perundangan dan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Tun Zaki pada Konvensyen Perundangan dan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang hari ini.

Beliau antara panel yang menyampaikan pembentangan membabitkan isu memartabkan mahkamah syariah dalam negara.

Mengulas lanjut, Zaki turut menekankan perlunya keberanian Mahkamah Syariah untuk mencuba pendekatan pentadbiran yang inovatif selagi ia tidak melanggar undang-undang.

“Kita perlu berani mencuba pentadbiran luar biasa tanpa membatasi undang-undang. Kena berfikiran positif, turun padang, dengar masalah orang awam, belajar dari bawahan.

“Ini kerana penambahbaikan sebenar hanya boleh dicapai jika penyelesaian bermula dari akar umbi dan punca masalah sebenar.

“Jadi, untuk memastikan sesuatu kes dapat diselesaikan dengan cepat, mahkamah dan peguam mesti memainkan peranan masing-masing agar matlamat utama iaitu menegakkan keadilan dicapai,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Zaki turut mencadangkan agar pentadbiran mahkamah menyediakan template permohonan atau dokumen pemfailan bagi membantu golongan mereka tidak mampu melantik peguam memfailkan kes.

“Kita perlu fikirkan penyelesaian praktikal. Kalau orang tak mampu upah peguam, bantu mereka dengan template yang mudah. Peguam juga digalakkan untuk memberi khidmat pro bono kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast