Za’im (kanan) bersama Tun Zaki ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Perundangan dan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Sistem kehakiman Syariah Pulau Pinang terus mencatat pencapaian membanggakan apabila mampu menyelesaikan kes cerai tanpa pertikaian dalam tempoh sehari.

Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Datuk Za’im Md Yudin mendedahkan, sekiranya suami dan isteri bersetuju untuk bercerai tanpa sebarang pertikaian, keseluruhan proses boleh diselesaikan dalam hari yang sama termasuk perintah cerai.

“Inisiatif itu merupakan hasil pelaksanaan projek Reformasi Kerana Birokrasi (RKB) yang bertujuan mempercepatkan penyelesaian kes-kes syariah yang tidak rumit selari dengan prinsip keadilan yang cekap dan mesra rakyat.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 2,000 kes perceraian direkodkan di seluruh Pulau Pinang, dan pendekatan ini menyelesaikan konflik pasangan secara damai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Konvensyen Perundangan dan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, bagi kes-kes yang lebih kompleks seperti permohonan fasakh atau perceraian yang tidak mendapat persetujuan bersama, proses perbicaraan tetap diperlukan termasuk kehadiran saksi dan beberapa kali sebutan di mahkamah.

“Kes fasakh biasanya melibatkan tiga hingga empat kali sebutan, tapi kami tetap menetapkan tempoh maksimum enam bulan untuk selesaikan kes seperti ini,” katanya.

Terdahulu, Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi mencadangkan agar sistem Mahkamah Syariah di seluruh negara melaksanakan reformasi dalam menangani isu penangguhan kes yang berpanjangan.

Menurut beliau, penangguhan kes bukan sahaja membebankan sistem kehakiman, malah menganiaya pihak yang tidak bersalah, khususnya dalam kes-kes perceraian dan tuntutan nafkah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast