Poster filem ‘Coolie’ lakonan pelakon lagenda India, Rajinikanth. Syarikat pengedaran filem tempatan, Malik Streams Corporation berjaya memperoleh hak tayangan di Malaysia pada Ogos depan.

KUALA LUMPUR – Syarikat pengedaran filem tempatan, Malik Streams Corporation mencatat satu lagi kejayaan apabila  memperoleh hak tayangan eksklusif di Malaysia bagi filem mega aksi-thriller lakonan legenda perfileman India, Rajinikanth, berjudul Coolie.

Filem arahan Lokesh Kanagaraj dan terbitan Sun Pictures itu merupakan filem ke-171 Rajinikanth sebagai pelakon utama dan dijangka menjadi antara produksi paling besar dalam sejarah perfileman India.

Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams, Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata, pihaknya membayar sebanyak RM6 juta bagi mendapatkan hak tayangan filem berkenaan sekaligus meletakkan filem itu sebagai antara pembelian hak tayangan tempatan paling bernilai bagi filem Tamil.

“Coolie merupakan produksi berskala ‘pan India’ yang menghimpunkan barisan pelakon gergasi dari seluruh India termasuk Rajinikanth, Aamir Khan, Sathyaraj, Upendra, Shruti Haasan dan ramai lagi.

“Penerbit menyasarkan kutipan keseluruhan mencecah 1,000 crore rupee iaitu kira-kira RM560 juta,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Datuk Abdul Malik Dasthigeer.

Abdul Malik menyasarkan kutipan box office di Malaysia sahaja boleh mencecah RM60 juta, memandangkan populariti luar biasa Rajinikanth yang merentas kaum di negara ini.

“Filem ini memiliki segala elemen blockbuster aksi epik, pelakon legenda, arahan berkualiti dan muzik oleh Anirudh Ravichander. Trailer pun sudah cukup untuk membuktikan tahap produksinya. Saya percaya peminat tegar beliau termasuk ramai penonton Melayu akan membanjiri pawagam,” ujarnya teruja.

Coolie dijadual ditayangkan di seluruh dunia bermula 14 Ogos 2025 akan dilancarkan dalam pelbagai format termasuk standard, IMAX, D-Box dan 4DX.

Menariknya, ia bukan kali pertama Abdul Malik menjalin kerjasama rapat dengan Rajinikanth sebaliknya pada tahun 2016, beliau mencipta fenomena apabila berjaya membawa bintang paling berpengaruh India itu ke Malaysia untuk bertemu peminat dalam satu acara mega yang dihadiri ratusan ribu orang.

Rajinikanth sendiri mengakui beliau menetap di Malaysia selama lebih sebulan ketika itu kerana kepercayaan dan persahabatan yang terjalin dengan Abdul Malik, ia juga sesuatu yang belum pernah dilakukan beliau di mana-mana negara sebelum ini seperti dilaporkan media-media antarabangsa.

Lebih mengagumkan, filem blockbuster Kabali yang turut dibintangi Rajinikanth pada asalnya dirancang untuk penggambaran di Singapura namun pelakon itu akhirnya memilih Malaysia selepas dipujuk secara peribadi oleh Abdul Malik.

Menurut beliau, kesan dari keberadaan Rajinikanth di Malaysia waktu itu turut membuka mata banyak produksi India lain untuk memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran filem mereka, sekaligus memberi impak besar kepada industri kreatif dan pelancongan negara.

Kini Abdul Malik sekali lagi mencuba membawa Rajinikanth ke Malaysia sempena tayangan Coolie dengan acara promosi mega dirancang pada Ogos depan yang dijangka menghimpunkan lebih 50,000 peminat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast