KUALA LUMPUR – Kadar tarif elektrik dalam jadual baharu di Semenanjung yang mula dilaksanakan pada 1 Julai lalu tidak lagi berdasarkan aktiviti ekonomi sebaliknya mengikut tahap sambungan voltan.
Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia bagi memastikan pengguna bukan domestik dikenakan kadar tarif berdasarkan kos sebenar untuk membekalkan sumber elektrik kepada mereka.
“Bagi mengurangkan impak bil elektrik di samping menggalakkan amalan kecekapan tenaga dalam kalangan pengguna, kerajaan telah memperkenalkan insentif cekap tenaga.
“Pengguna domestik diberikan terus dengan penggunaan elektrik 1,000 kWj dan ke bawah dan juga Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) yang menggunakan elektrik 200 kWj dan ke bawah,” katanya pada sesi jawapan menteri dalam sidang Parlimen hari ini.
Fadillah juga berkata, insentif itu bertujuan untuk menggalakkan golongan sasar ini untuk lebih bijak dalam pengurusan tenaga.
“Ia bagi memastikan tiada keperluan para PMKS untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan disebabkan oleh kadar tarif baharu ini,” katanya.
Selain itu, kata Fadillah, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 600 kWj dan ke bawah juga akan dikecualikan daripada pembayaran caj peruncitan.
“Ini merupakan bantuan kerajaan kepada golongan tersebut bagi memastikan mereka terus dilindungi dan tidak terkesan dengan pelaksanaan jadual baharu ini,” katanya.
Menurut Fadillah, kerajaan menjangkakan perubahan minimum kepada bil elektrik pengguna domestik dan juga PMKS dengan 85 peratus pengguna domestik tidak akan terkesan dan terus dilindungi.
“Jemaah Menteri pada 11 Jun 2025 juga telah meluluskan pelaksanaan mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA) bagi menggantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) di mana pelarasan kos bahan api dibuat setiap bulan berbanding enam bulan.
“Namun begitu, kementerian kekal prihatin dalam memastikan kebajikan rakyat terjaga dan tidak terkesan secara terus dengan perubahan bil elektrik secara mendadak sekiranya berlaku ketidakstabilan harga bahan api di pasaran.
“Terdapat penetapan nilai ambang memerlukan kelulusan Menteri Tenaga bagi kelulusan kadar AFA sekiranya caj tenaga asas dan unjuran kos tenaga pada bulan akan datang berlaku peningkatan melebihi 10 peratus dari bulan semasa.
“Ini merupakan langkah proaktif Kerajaan bagi terus melindungi pengguna elektrik,” katanya.
Di samping itu pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 600 kWj dan ke bawah akan dikecualikan daripada pelarasan kos bahan api secara automatik iaitu AFA.
“Langkah ini untuk memastikan golongan domestik tidak terbeban dengan pembayaran bil elektrik di samping menggalakkan pengguna menggunakan elektrik secara cekap dan berhemah sekiranya mereka ingin mendapat insentif ini,” katanya.
Katanya lagi, kementerian juga masih melaksanakan Program Rebat Bil Elektrik RM40 untuk membiayai bil elektrik bulanan sehingga RM40 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem e-Kasih.
“Sebanyak RM55 juta telah diperuntukkan pada 2025 dan bantuan rebat ini akan mengurangkan impak jadual tarif baharu ini kepada golongan miskin tegar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















