KUALA LUMPUR – Penangguhan kenaikan kadar tol dapat memberi manfaat dan mengurangkan bebanan bayaran tol kepada kira-kira 941,000 pengguna, khususnya pengguna harian yang berulang-alik dari rumah ke tempat kerja setiap hari.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebagai balasan terhadap komitmen itu, kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) akan menanggung pampasan sebanyak lebih RM500 juta kepada syarikat konsesi yang terlibat supaya operasi dan penyelenggaraan lebuh raya tetap berjalan dengan baik dan selamat untuk semua.
Menurut beliau, ia bukan keputusan yang mudah, tetapi dibuat dengan pertimbangan yang sangat teliti dan penuh tanggungjawab.
Dalam masa sama, ujarnya, ia membuktikan suara rakyat didengar dan diberi keutamaan dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani.
“Saya dan seluruh warga Kementerian Kerja Raya (KKR) akan terus komited memastikan jalan raya dan lebuh raya negara sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan mampu dimanfaatkan oleh semua golongan rakyat, tanpa mengira latar belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pengumuman khas Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia hari ini berkata, tiada kenaikan kadar tol tahun ini di sebalik perjanjian kenaikan dengan konsesi lebuh raya yang sepatutnya dilaksanakan.
Lebuh raya yang terlibat bagi penangguhan kenaikan tol ini ialah Lebuhraya Cheras – Kajang (Grand Saga); Lebuhraya KL – Kuala Selangor (LATAR); Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB); Lebuhraya Senai – Desaru (SDE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).
Turut terlibat adalah Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE); Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS); Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE); Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).
Menurut Alexander, Kerajaan Madani amat memahami tekanan kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat ketika ini, justeru langkah itu diharap dapat meringankan beban pengguna lebuh raya. – MalaysiaGazette
















