PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini pagi tadi digemparkan dengan penjelasan mengejutkan daripada ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Matin, Ismanira Abdul Manaf mengenai mesej berbunyi ‘lantaklah nak hidup ke nak mati’ yang dihantarnya kepada suaminya pada hari kehilangan kanak-kanak autisme itu dua tahun lalu.
Suasana di mahkamah seketika menjadi hening apabila Ismanira yang sedang membela diri bagi pertuduhan telah mengabaikan Zayn Rayyan sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal memberikan jawapannya dengan nada tenang.
Sebaliknya dakwa wanita itu bahawa mesej tersebut bukanlah ditujukan kepada anaknya, sebaliknya kepada dirinya sendiri.
“Kandungan mesej itu bukan ke atas anak saya. Pada hari itu, dalam keadaan saya cemas, kelam-kabut dan sedih mencari anak saya yang hilang.
“Saya sangat perlukan perhatian suami ketika itu dan saya hantar perkataan begitu supaya suami saya cepat pulang dan bantu saya.
“Perkataan itu saya maksudkan ke atas diri saya,” katanya dengan tenang ketika menjawab soalan tambahan peguamnya, Haresh Mahadevan.
Hadirin di galeri awam ada yang kelihatan terkejut dengan penjelasan itu, ada juga menggeleng kepala manakala beberapa yang lain berbisik sesama sendiri.
Hakim Dr Syahliza Warnoh yang mengendalikan prosiding turut memerhati reaksi Ismanira ketika memberikan jawapan yang kadankala tinggi suara dan ada kalanya sebak.
Untuk makluman, mesej WhatsApp yang dihantar suspek kepada suaminya menjadi perhatian sejak ia dikemukakan sebagai bukti oleh pihak pendakwaan.
Ketika prosiding pada 7 April lalu, Asisten Supritendan Mohd Zaidi Abu Hassan dari Unit Siasatan Jenayah Komputer mendedahkan kepada mahkamah bahawa mesej berkenaan antara kandungan WhatsApp yang berjaya diekstrak daripada telefon bimbit yang dirampas.
Menurut Mohd Zaidi, analisis forensik mendapati perbualan itu diperoleh daripada dua nombor telefon milik pasangan berkenaan sebuah iPhone menggunakan iCloud berdaftar atas nama Ismanira dan sebuah telefon Huawei menggunakan akaun Google atas nama suaminya, Zaim Ikhwan Zahari.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi sebelum ini mengemukakan perbualan tersebut sebagai bukti yang menjadi salah satu bahan rujukan penting dalam kes ini.
Prosiding bersambung akan pada 4 Ogos depan.
Ismanira kini membela diri atas pertuduhan mengabaikan anaknya bersama suami, Zaim Ikhwan Zahari, 30, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, mahkamah Isnin lepas telah memutuskan untuk melepas dan membebaskan Zaim Ikhwan daripada pertuduhan tersebut selepas mendapati tiada kes prima facie terhadapnya.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sekitar Blok R, Apartment Idaman sehingga ke kawasan sungai berhampiran lokasi tersebut antara jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Pasukan pendakwaan diketuai oleh TPR Raja Zaizul Faridah bersama Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala Ismanira diwakili peguam bela Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh. – MalaysiaGazette
















