KUALA LUMPUR – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menzahirkan rasa kesal dengan tindakan empat ahli Parlimen mempertikai keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) kerana tidak mendakwa dua pendakwah bebas, Zamri Vinoth dan Firdaus Wong.
Pengerusi Sekretariat Pemudanya, Dr. Ainul Asyraf Lokman berkata, tindakan Datuk Seri M. Saravanan dilihat sebagai cubaan mengheret isu itu ke ruang politik dan mencetuskan sentimen perkauman secara tidak bertanggungjawab.
“Sebagai ahli Parlimen, mereka terikat dengan sumpah jawatan untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, termasuk prinsip Kedaulatan Undang-Undang dan Pemisahan Kuasa.
“Oleh itu, sebarang keputusan undang-undang yang dibuat oleh institusi sah seperti AGC tidak wajar dipolitikkan atau ditekan secara terbuka.
“Ia bertentangan dengan prinsip demokrasi berperlembagaan yang kita junjung bersama,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Semalam, media melaporkan Saravanan selaku Ahli Parlimen Tapah bersama beberapa ahli Parlimen mewakili masyarakat India menyuarakan rasa kecewa dan menggesa AGC menilai semula keputusan untuk tidak mendakwa dua pendakwah bebas tersebut.
Menurut Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sewajarnya berbincang dengan mereka sebelum membuat sebarang keputusan.
Asyraf berkata, PUM berpegang dengan prinsip keadilan yang berpaksikan bukti yang sahih, bukan desakan sentimen.
“PUM yakin keputusan AGC bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, tetapi berdasarkan penelitian terhadap siasatan dan bukti yang dikemukakan oleh pihak polis.
“Jika terdapat bukti baharu kukuh, maka saluran betul dengan mengemukakan permohonan semakan semula melalui proses undang-undang, bukan dengan mengheret isu ke media demi keuntungan politik,” katanya.
Katanya, tuduhan kononnya wujud layanan terpilih dalam kes ini tidak bertanggungjawab dan tidak berasas, serta boleh mengundang ketegangan antara kaum dan agama.
“Ia juga membuka ruang kepada naratif Islamofobia yang cuba menakut-nakutkan umat Islam daripada berdakwah atau menyatakan pandangan agama secara sah menurut Perlembagaan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, PUM menyeru semua pihak khususnya ahli-ahli politik, agar menghentikan segala bentuk provokasi perkauman atau kebencian agama.
“Ahli politik juga perlu menghormati institusi perundangan dan proses keadilan. Keputusan AGC adalah sebahagian daripada sistem keadilan yang mesti kita pertahankan bersama,” katanya.
Katanya, semua pihak perlu mengutamakan keharmonian nasional di mana isu sensitif berkaitan agama dan kaum perlu ditangani dengan hikmah, profesional dan penuh tanggungjawab.
“Kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya para pemimpin, agar memelihara keharmonian masyarakat majmuk, dan tidak menyemarakkan api perpecahan.
“Kepada para pendakwah seperti saudara Zamri dan saudara Firdaus, teruskan menyampaikan dakwah dengan hikmah dan ilmu.
“Marilah kita bersama membina Malaysia yang rahmah, aman dan harmoni,” katanya. – MalaysiaGazette
















