KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan tindakan sewajarnya akan diambil berlandaskan undang-undang berdasarkan siasatan kejadian yang menimpa pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir, baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau secara peribadi mengikut rapat kes kemalangan tersebut.
Bagaimanapun katanya, kes berkenaan kini sedang dalam siasatan polis manakala KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sentiasa memberi kerjasama penuh kepada proses siasatan yang sedang berjalan.
“Pada waktu ini masyarakat dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkait kes ini. Beri ruang kepada pihak Polis untuk menjalankan tugas secara profesional, telus, menyeluruh dan berintegriti.
“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasar kepada hasil siasatan. Tiada siapa yang akan dilindungi dan terlepas dari tindakan undang-undang,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Tambah beliau, JPN Sabah komited untuk terus memastikan kesejahteraan keluarga, murid, guru dan warga sekolah terlibat terpelihara. Ini dilakukan menerusi penyediaan bantuan segera termasuk aspek sokongan psikososial dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga. Semoga diberi kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian berat ini,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, tular di media sosial berkenaan kejadian seorang pelajar sekolah di Sabah yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah tersebut, dalam kejadian yang dipercayai beberapa hari lalu.
Mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Satu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).
Menerusi hantaran yang tular itu, insiden tersebut dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli yang berlaku di sekolah berkenaan. – MalaysiaGazette














