JOHOR BAHRU – Pembangkang tidak seharusnya memperlekeh usaha kerajaan meringankan beban rakyat tanpa membawa sebarang alternatif atau cadangan bernas.
Sebaliknya, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, mereka perlu menampilkan idea sekiranya tidak bersetuju dengan cara Kerajaan Madani membantu rakyat menerusi pengumuman Perdana Menteri kelmarin.
“Jika benar mahu membela rakyat, maka tampilkan idea, bukan sekadar celaan kosong yang memecahbelahkan keyakinan rakyat terhadap negara sendiri.
“Amanah Johor percaya bahawa langkah-langkah ini bukan sahaja menyelesaikan masalah jangka pendek rakyat, tetapi juga membuktikan Kerajaan Madani sedang menyusun keutamaan dengan bijak dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.
Kelmarin Anwar menerusi pengumuman khas Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia antara lain memaklumkan bantuan tunai one-off RM100 kepada rakyat dewasa selain jaminan harga petrol turun kepada RM1.99 menjelang akhir September ini.
Turut diumumkan adalah tambahan sebanyak RM300 juta bagi program Jualan Rahmah Madani serta tiada kenaikan tol sepanjang tahun ini.
Mengulas lanjut, Aminolhuda berkata, pihaknya menyokong penuh pengumuman tersebut yang jelas memperlihatkan keprihatinan Kerajaan Madani terhadap golongan B40 dan rakyat terbanyak.
“Walaupun terdapat segelintir pihak pembangkang yang memilih untuk mentertawakan atau memperkecilkan langkah ini, kami percaya bahawa rakyat yang celik mata hatinya akan menzahirkan rasa syukur terhadap keprihatinan kerajaan terhadap nasib mereka.
“Khususnya masyarakat Melayu yang merupakan majoriti dalam kategori B40 dan mempunyai jumlah tanggungan anak yang tinggi,” ujar Ahli Parlimen Sri Gading itu.- MalaysiaGazette
















