KUALA LUMPUR – Seramai enam pelajar Tingkatan Lima di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Melaka digantung dan dicadangkan dibuang selepas didakwa terlibat dalam kejadian buli.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini, yang bagaimanapun tidak menyatakan kes buli yang dimaksudkan dan MRSM yang terlibat.
Terdahulu, menurutnya, beliau menerima banyak makluman daripada pengikutnya di media sosial berhubung insiden terbabit sejak awal pagi tadi.
“Pagi-pagi lagi ramai tag perihal insiden buli yang berlaku di salah sebuah MRSM di Melaka. Terus saya minta laporan dari pengurusan Mara. 6 pelajar T5 terlibat buli digantung dan dicadang untuk dibuang. Tak perlu merayu. #YouTouchYouGo,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Sementara itu, dalam ruangan komen di laman Facebook sama, Asyraf Wajdi berkata, beliau sudah menegaskan kepada pihak pengurusan Mara supaya tidak melayani sebarang rayuan bersabit kes buli.
“Bahkan tidak perlu juga bersusah payah nak berjumpa saya untuk merayu.
“Sudah banyak kali diperingatkan bahawa MARA tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk BULI,” katanya.
Menurut Asyraf Wajdi, Mara bertanggungjawab untuk melahirkan generasi pemimpin berakhlak dan beradad, bukan petualang yang meranapkan nilai keagamaan dan ketamadunan.
“Saya berazam menjadikan MRSM dan Institusi-institusi Pendidikan MARA sebagai zon Bebas BULI, insyaAllah,” katanya.
Pada April lalu, Jawatankuasa Disiplin MRSM turut mengesyorkan tujuh pelajar MRSM di Nibong Tebal, Pulau Pinang yang terlibat kes buli ditamatkan pengajian. – MalaysiaGazette
















