Home Nasional Perhilitan pindah sembilan gajah liar berperingkat

Perhilitan pindah sembilan gajah liar berperingkat

KLUANG – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ketika ini melakukan pemindahan sembilan ekor gajah yang berjaya ditangkap minggu lalu di daerah ini secara berperingkat-peringkat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, operasi pemindahan gajah liar berkenaan melibatkan jantan, betina dan anak gajah.

Beliau memberitahu, kerja-kerja pemindahan pertama melibatkan empat gajah dilakukan Rabu lalu ke habitat semula jadi yang lebih sesuai.

“Anak gajah dihantar ke Pusat Konservasi Gajah di Kota Tinggi untuk dijaga dan dilatih sebagai gajah penunjuk arah.

“Semalam pula dua lagi ekor gajah berjaya dipindahkan dalam operasi yang mengambil masa hampir lima jam. Dua ekor terakhir akan dipindahkan pada Isnin ini,” katanya dalam kenyataan.

Pada 14 Julai lalu Perhilitan Johor memaklumkan akan melaksana operasi tersebut secara besar-besaran membabitkan 25 gajah bermula bulan ini hingga Julai tahun depan.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, langkah strategik itu bagi menangani isu konflik gajah dan manusia secara menyeluruh dan berkesan, dengan Johor menjadi negeri pertama lokasi operasi berkenaan.

“Selain itu, ia bertujuan memulihkan ekosistem melalui kawalan populasi di luar habitat asal dan pengumpulan data saintifik untuk penambahbaikan dasar pengurusan gajah liar,” ujar Abdul Kadir.

Mengulas lanjut, Tian Soon berkata, operasi pemindahan ini turut dibantu unit khas gajah Jabatan Perhilitan dari negeri lain bagi memastikan keselamatan haiwan dan kelancaran operasi.

Katanya, semua gajah itu ditangkap di Kampung Seri Lukut, Kampung Pinggir dan Kampung Pinggir sekali gus menjadikan rekod tangkapan terbesar dalam sejarah operasi seumpama itu di Johor.

“Pada tahun lalu, konflik ini telah meragut nyawa dan menyebabkan kerugian ekonomi yang dianggarkan mencecah jutaan ringgit.

“Justeru, Kerajaan Negeri Johor mengambil serius perkara ini walaupun Jabatan Perhilitan merupakan agensi Persekutuan.

“Bagaimanapun, kita tetap memperuntukkan sebanyak RM600,000 bagi membantu Jabatan Perhilitan melaksanakan operasi khas ini demi kesejahteraan penduduk,” katanya.

Jelasnya, setelah selesai fasa pemindahan tersebut, Jabatan Perhilitan akan meneruskan kerja-kerja translokasi di kawasan lain sekitar daerah ini.

“Kita berharap agar usaha ini dapat mengurangkan insiden pertembungan antara manusia dan gajah serta melindungi ekosistem semula jadi di negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast