ALOR GAJAH – Seorang bayi perempuan berusia empat bulan maut dipercayai tersedak susu yang diberi bapanya di rumahnya di Kuala Sungai Baru di sini, awal pagi kelmarin.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi Jumaat, selepas bapanya berusia 28 tahun yang baru pulang dari kerja kilang memberikan susu kepada anak sulungnya itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, ketika kejadian, isterinya berusia 22 tahun baru 15 minit keluar bekerja di sebuah kilang di Kelemak, di sini.

“Selepas memberikan anaknya susu botol pada jam 5 pagi, lelaki itu yang baru pulang dari kerja pada jam 4.30 pagi terlelap dan hanya terjaga dari tidur lima jam kemudian.
“Sebaik sedar pada jam 10 pagi, dia mendapati anaknya sudah tidak bergerak ketika dikejutkan sebelum bergegas membawanya ke Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru pada jam 10.15 pagi,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Menurutnya, doktor kemudian memberikan bantuan pernafasan namun bayi berkenaan tidak menunjukkan sebarang tindak balas sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.40 pagi.
“Jenazah kemudian dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan keputusannya ‘pending laboratory investigation’ (menunggu laporan lengkap makmal).
“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai SDR (kematian mengejut) sehingga pihak polis menerima laporan penuh analisa makmal,” tambahnya.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Linggi. – MalaysiaGazette
















