PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta agar media mahupun rakyat bersabar dengan pengumuman senarai Kabinet penuh di bawah pentadbirannya.
Ujarnya, beliau perlu mengambil kira semua aspek semua menteri yang akan dilantik termasuk menteri dari Sabah dan Sarawak.
“Kita akan ambil semua pandangan dan tunggu la sekejap, kita akan bagi tahu 26, 27 atau 28 atau 500 orang menteri,” katanya menjawab pertanyaan media bilakah senarai penuh Kabinet akan diumumkan beliau.
Sehingga kini seramai 13 menteri mengangkat sumpah jawatan mereka di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 21 Mei lalu.
Sebelum ini, Dr Mahathir berkata, Kabinet beliau bakal menyaksikan seramai 28 orang menteri dilantik berbanding 35 ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama tiga menteri kanan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri, Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) dan Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan).
Barisan Kabinet lain adalah Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub dan Menteri Tenaga Manusia, Kulasegaran V. Murugeson.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, senarai barisan menteri Kabinetnya akan diselesaikan pada minggu depan.
“Saya mahu penuhkan barisan Kabinet saya kalau boleh pada minggu ini, tetapi ia mungkin akan dilanjutkan sehingga ke minggu depan,” katanya. – MalaysiaGazette
















