Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyifatkan pelantikan barisan tertinggi badan kehakiman negara sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh prinsip keadilan serta menjamin keluhuran Perlembagaan.

Menurut beliau, istiadat pelantikan tersebut berlangsung pagi ini di Istana Negara, melibatkan pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, para Hakim Mahkamah Rayuan serta Hakim Mahkamah Tinggi.

“Pagi ini saya berkesempatan menyaksikan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan serta Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia oleh Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, para Hakim Mahkamah Rayuan serta Hakim Mahkamah Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, istiadat penuh istiadat itu telah disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan berlangsung dalam suasana penuh tertib dan berdaulat.

“Istiadat ini telah disempurnakan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shamsul Azri berkata, pelantikan para hakim ini bukan sahaja memperkukuhkan kedudukan institusi kehakiman, malah mencerminkan komitmen negara terhadap amalan pemisahan kuasa serta integriti sistem perundangan.

Menurut beliau, badan kehakiman berperanan besar dalam memastikan keadilan ditegakkan secara bebas dan berwibawa, selaras dengan kehendak rakyat serta semangat Perlembagaan Persekutuan.

“Moga pelantikan ini menjadi landasan kukuh kepada institusi kehakiman negara dalam memperteguh prinsip keadilan, seterusnya menjamin keluhuran dan kedaulatan undang-undang,” ujarnya lagi.

Shamsul Azri turut merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam memastikan kelangsungan institusi kehakiman serta menyatakan keyakinan bahawa pelantikan baharu ini mampu memperkukuh keyakinan awam terhadap badan kehakiman.

Beliau menegaskan kerajaan akan terus komited dalam menyokong kebebasan badan kehakiman demi memastikan prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang terus subur di negara ini.

Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan Suratcara Pelantikan kepada Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Istana Negara.

Wan Ahmad Farid, 62, turut mengangkat serta melafaz sumpah taat setia jawatan pada Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan Ketua Hakim Negara yang berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara.

Beliau yang sebelum ini Hakim Mahkamah Rayuan, turut dikurniakan Suratcara Pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Istiadat berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pada istiadat sama, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Suratcara Pelantikan kepada Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi, diikuti Suratcara Pelantikan kepada lapan Hakim Mahkamah Rayuan serta 14 Hakim Mahkamah Tinggi.

Wan Ahmad Farid dilantik Ketua Hakim Negara ke-17 bagi menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara pada 2 Julai lalu. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Agong kurnia Surat Cara Pelantikan Ketua Hakim Negara kepada Wan Ahmad Farid

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast