KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan, Batik Air hari ini melancarkan perkhidmatan terus baharu antara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB), Subang, dan Bangkok, Tahailand.
Pelancaran laluan baharu itu mengukuhkan komitmen syarikat untuk membangunkan SZB sebagai hab perjalanan strategik dan mudah diakses untuk Lembah Klang dan seterusnya.
Selain ke Bangkok, Batik Air turut memulakan penerbangan terus antara Subang dan Kuching pada hari yang sama, menjadikannya destinasi kedua di Malaysia Timur selepas Kota Kinabalu.
Batuk Air kini mengendalikan penerbangan ke lima destinasi dari Subang termasuk Pulau Pinang, Kota Bharu, Kota Kinabalu, dan Tawau (melalui Kota Kinabalu).
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, penambahan laluan baharu ini memberi lebih banyak pilihan kepada penumpang, selain menyediakan alternatif yang lebih mudah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Dengan laluan baharu ini, kami bukan sahaja memperkukuh kehadiran Batik Air di Subang tetapi juga membawa penumpang lebih dekat ke destinasi kegemaran mereka sama ada menerokai keindahan bandar Bangkok atau menikmati pesona budaya Kuching,” katanya dalam kenyataan.
Sementara dalam kenyataan sama, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy berkata, laluan yang dilancarkan itu tepat pada masanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Katanya, Thailand kekal sebagai salah satu pasaran utama pelancongan Malaysia, dan peningkatan akses ini dijangka memainkan peranan penting dalam menarik lebih ramai pelawat ke negara kita. – MalaysiaGazette
















