Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse
Jimmy Puah Wee Tse.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipuji kerana menunjukkan kepimpinan yang berwibawa sebagai pendamai serantau selepas mengadakan pertemuan diplomatik bersama Pemangku Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja di Putrajaya, hari ini.

Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pertemuan tersebut membuktikan Malaysia memainkan peranan proaktif dalam memastikan kestabilan dan keselamatan rantau Asia Tenggara terus terpelihara, seiring peranannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

“Saya merakamkan rasa hormat yang tinggi terhadap keupayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memainkan peranan sebagai pendamai serantau apabila hari ini beliau bertemu dengan Pemangku Perdana Menteri Thailand dan Perdana Menteri Kemboja di Putrajaya bagi membincangkan isu konflik yang berlaku antara kedua-dua negara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awal hari ini, Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan di kawasan sempadan.

Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat khas antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dengan Anwar bertindak sebagai hos Pengerusi ASEAN dan saksi kepada perbincangan bersejarah itu.

Pada sidang media bersama selepas mesyuarat itu, Anwar berkata kedua-dua negara bersetuju melaksanakan beberapa langkah susulan.

Dalam pada itu, Jimmy berkata langkah yang diambil oleh Anwar bukan sahaja mencerminkan tanggungjawab negara sebagai pengerusi ASEAN, malah turut menzahirkan kebijaksanaan dan pengaruh besar yang dimiliki oleh Perdana Menteri dalam menjayakan misi damai melalui pendekatan diplomasi dan dialog.

“Pertemuan ini adalah bukti nyata bahawa Malaysia turut memainkan peranan proaktif dalam memastikan kestabilan dan keselamatan rantau Asia Tenggara terus terpelihara,” tambahnya.

Dalam kenyataan yang sama, beliau menegaskan bahawa usaha ini bukan sekadar bertujuan mengelakkan pertumpahan darah, malah membawa makna yang lebih luas terhadap kemajuan ekonomi serantau.

Ikhtiar ini bukan hanya tentang mengelakkan pertumpahan darah, namun ia juga adalah tentang memastikan ASEAN terus menjadi rantau yang stabil, selamat dan menarik kepada pelabur asing,” ujarnya.

Menurut beliau, pendekatan Anwar telah berjaya menampilkan wajah Malaysia Madani yang progresif dan dihormati dunia, selari dengan aspirasi menjadi pemain utama dalam arena diplomasi serantau dan antarabangsa.

“Saya yakin rakyat Malaysia bangga melihat bagaimana suara negara kita dihormati dan dijadikan rujukan dalam menangani konflik antarabangsa. Inilah Malaysia Madani yang progresif, berprinsip, dan dihormati dunia,” tegas Jimmy. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast