KUALA LUMPUR – Pelbagai pihak hari ini terus menggesa Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari memohon maaf secara terbuka susulan memuat naik karikatur satira gambar haiwan di laman sosial Facebook beliau dalam merujuk isu perang antara Thailand dan Kemboja.
Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Syahredzan Johan berkata, walaupun Ahli Parlimen Pasir Mas berkenaan sudah memuat turun hantaran itu, namun tindakan itu disifatkan tidak memadai.
Sebaliknya Ahmad Fadhli sepatutnya memohon maaf kepada warga Thailand dan Kemboja, malah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas hantaran tersebut yang dianggap keterlaluan.

“Alhamdulillah dengan PMX sebagai orang tengah, kedua-dua negara ini sudah mencapai persetujuan gencatan senjata. Bayangkan, sekiranya tokoh pembangkang yang menerajui negara, YB Fadhli sudah memberi gambaran jelas apa yang Malaysia bawah Perikatan Nasional akan lakukan apabila berhadapan dengan konflik di rantau ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Terdahulu, Ahmad Fadhli dikecam banyak pihak susulan memuat naik hantaran dan gambar satira menampilkan figura hakim berupa monyet di hadapan biri-biri dan kambing yang berebutkan pisang dipercayai merujuk usaha Malaysia merintis jalan damai dalam perang antara Thailand dan Kemboja.
Bagaimanapun hantaran itu telah diturunkan Ahmad Fadhli di laman sosial Facebook beliau.
Sementara itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan perumpamaan yang dibuat Ahmad Fadhli berkenaan membongkar wajah sebenar Pas yang menjurus kepada politik kebencian serta tidak tahu membezakan lawan politik dan martabat negara.

Tegas beliau, tindakan menyamakan Malaysia sebagai “monyet” dalam konflik serantau bukan saja memperlekehkan kedaulatan negara malah menghina peranan diplomasi Malaysia yang diiktiraf dunia.
“Negara kita dihormati di peringkat ASEAN dan dunia kerana komitmen terhadap diplomasi damai, bukan sikap suka campur tangan secara semberono seperti didakwa,” katanya. – MalaysiaGazette
















