KUANTAN – Jabatan Perikanan Negeri Pahang sudah menjalankan siasatan tindakan tiga individu yang yang kacau ganggu terhadap seekor penyu agar yang berlaku di Pantai Pendaratan Penyu Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating pada 27 Julai lalu.
Malah, polis juga sedang mengesan tiga individu terbabit.
Pengarah Perikanan Negeri Pahang, Roslan Abu Hasan yang kesal dengan kejadian itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan.
Menurutnya, penyu adalah spesies yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 dan kejadian seperti inimencerminkan kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan memelihara spesies marin yang semakin terancam.
Tambah beliau, mana-mana individu yang didapati mengganggu, menangkap, ataumemusnahkan habitat penyu boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM500 dan tidak melebihi RM20,000.
Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 6.45 pagi itu, seekor penyu yang sedang naik ke pantai dipercayai untuk bertelur telah diperlakukan dengan kejam oleh tiga individu tidak dikenali.
“Jabatan telah menjalankan siasatan awal di lokasi dan membuat laporan polis di Balai Polis Cherating. Usaha pengesanan dan tindakan susulan sedang dijalankan dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini.
Semalam, salah seorang daripada tiga lelaki itu telah ditahan.
Pada masa sama, Roslan turut menyeru kerjasama komuniti setempat dan pengusaha pelancongan bertanggungjawab dalam memelihara kelestarian sumber marin negeri ini.
“Laporkan segera sebarang aktiviti mencurigakan agar penyu-penyu ini terus selamat dan dapat terus mendarat di perairan kita,” katanya. – MalaysiaGazette
















