KUALA LUMPUR – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar mengetuai delegasi ke Thailand dan Kemboja bagi menjalankan rundingan diplomatik dengan kedua-dua negara terbabit.
Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, meskipun perjanjian gencatan senjata telah dikuatkuasakan semalam, beberapa insiden pertempuran kecil dilaporkan berlaku sejurus selepas pelaksanaannya.
Bagaimanapun, katanya, satu mesyuarat antara Komander Serantau kedua-dua negara yang berlangsung pukul 10 pagi tadi telah menghasilkan persetujuan bersama untuk memperkukuh komitmen terhadap perjanjian tersebut.
Menurutnya, antara perkara yang dipersetujui dalam mesyuarat itu termasuk menegaskan semula pematuhan terhadap perjanjian gencatan senjata dan melarang sebarang serangan terhadap orang awam.
Ujarnya, turut dipersetujui adalah supaya menghentikan sebarang penambahan atau pergerakan anggota tentera; memudahkan pemulangan anggota yang tercedera atau terkorban dan menubuhkan pasukan penyelarasan yang terdiri daripada empat wakil dari setiap pihak.
Selain itu, tambahnya, persetujuan lain adalah menunggu hasil rundingan lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang dijadualkan berlangsung pada 4 Ogos depan.
“Delegasi Malaysia dijadualkan meneruskan lawatan ke Phnom Penh bagi mengadakan perbincangan lanjut bersama pihak berkuasa Kemboja,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Thailand dan Kemboja telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan yang memuncak di sepanjang sempadan yang belum dimuktamadkan antara kedua-dua negara.
Keputusan itu dicapai selepas mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN ketika ini yang diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. – MalaysiaGazette
















