KUALA LUMPUR – Keputusan berasingan dua mahkamah yang menolak permohonan reman terhadap empat individu ditahan susulan perhimpunan aman ‘Turun Anwar’ merupakan sebagai satu kemenangan buat rakyat.
Ketua Penerangan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Harris Idaham Rashid berkata, keputusan berkenaan membuktikan tiada asas kukuh untuk menahan mereka yang hanya menggunakan hak untuk berhimpun secara aman.
Pada 28 Julai lalu, aktivis Bersatu, Chegubard dan Ikhwan telah ditahan, namun dibebaskan keesokan harinya selepas permohonan reman Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditolak oleh Mahkamah Majistret.
Manakala dua lagi pemimpin Armada, iaitu Syafiq Aziz yang merupakan Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam dan Furqan Hakimi, Setiausaha Kerja Armada Bersatu Perak telah ditahan semalam.
Mereka kemudian dibawa ke Majistret IPD Dang Wangi bagi permohonan reman selama empat hari oleh pihak polis.
Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan reman tersebut dan membebaskan kedua-dua individu terbabit serta-merta.
“Dua majistret berbeza menolak permohonan reman PDRM pada dua hari berbeza. Ini membuktikan tiada sebab yang kukuh untuk terus menahan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai satu kemenangan moral kepada rakyat Malaysia yang memperjuangkan hak kebebasan bersuara dan berhimpun sebagaimana termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Susulan itu, beliau menggesa pihak berkuasa agar menghentikan segala bentuk intimidasi politik terhadap rakyat yang memilih untuk menyuarakan pandangan secara aman dan sah di sisi undang-undang.
“Armada berdiri teguh mempertahankan hak rakyat untuk bersuara, berhimpun dan berpersatuan.
“Tindakan menahan secara berterusan tanpa asas jelas perlu dihentikan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















