Pemimpin Urimai dan Pas dalam perjumpaan di bangunan Parlimen hari ini. - Foto: FB Urimai

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI), P. Ramasamy hari ini mengetuai sekumpulan pemimpin parti itu mengadakan sesi dialog bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sesi dialog yang berlangsung di bangunan Parlimen itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan URIMAI untuk menjalinkan hubungan strategik dan dialog politik merentas parti khususnya bersama blok pembangkang.

Urimai dalam satu kenyataan menerusi laman sosial Facebook berkata, parti itu komited memastikan suara dan kebajikan masyarakat India terus dibawa dan dibincangkan di Parlimen tanpa takut atau pilih kasih.

URIMAI juga sedang mengadakan perbincangan dengan parti-parti pembangkang bagi memastikan isu-isu masyarakat India diketengahkan dan dibahas secara serius di Parlimen.

“Tidak dapat dinafikan bahawa gabungan MADANI merasakan mereka mempunyai kawalan penuh ke atas ahli Parlimen India. Tanggapan ini membawa kepada satu kesimpulan yang amat berbahaya—bahawa isu-isu melibatkan masyarakat India boleh diketepikan sewenang-wenangnya.

“URIMAI menolak sama sekali tanggapan ini,” katanya.

Tambah kenyataan itu, URIMAI juga bertekad untuk membongkar wajah sebenar pentadbiran MADANI yang disifatkan penuh kepura-puraan dan hanya menabur janji kosong.

“URIMAI akan terus berjuang mempertahankan maruah, hak dan masa depan masyarakat India di Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, URIMAI turut terlibat dalam satu perbincangan khas antara Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama setiap ketua parti blok pembangkang berhubung cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti.

Penubuhan barisan rentas parti itu bertujuan memperkukuhkan peranan semak dan imbang parti pembangkang di dalam dan luar Parlimen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. PAS asalkan boleh jaaa..Urumai tu salah satu parti yg ditubuhkan oleh manusia paling rasis di Penang

Comments are closed.