PASIR GUDANG – Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari yang mempersenda dan menyindir secara sinis terhadap usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rundingan diplomatik antara Thailand-Kemboja.
Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pasir Gudang, Murad Jailani mendesak siasatan dilakukan bawah peruntukan undang-undang yang sesuai terhadap kenyataan wakil rakyat Pas itu yang bersifat penghinaan.
“Boleh disiasat bawah Akta Hasutan 1948 termasuk Kanun Keseksaan atau Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap kenyataan tersebut.
“Kami menuntut agar tindakan tegas diambil ke atas mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan imej Perdana Menteri dan mencetus ketegangan serantau melalui kenyataan fitnah dan sindiran yang tidak bertanggungjawab.
“Kami beri amaran keras tidak akan berdiam diri terhadap sebarang bentuk penghinaan atau sabotaj terhadap usaha diplomatik negara dan Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan terhadap Fadhli berhubung isu tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini hari ini.
Terdahulu Fadhli menerusi Facebook miliknya memuat naik gambaran tiga watak binatang iaitu kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang sementara monyet sebagai hakim di media sosialnya.
Dalam hantaran tersebut, beliau menyatakan kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang serta turut meletakkan artikel berhubung pergolakan Thailand-Kemboja di sebelah gambar berkenaan.
Kelmarin Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat hasil usaha Malaysia dan Anwar yang menjadi orang tengah dalam isu tersebut.
Menurut kenyataan bersama Malaysia, Thailand dan Kemboja, ia merupakan langkah penting untuk mengurangkan ketegangan dan mengembalikan kemanan dan keselamatan kedua-dua belah pilhak.
Mengulas lanjut, Murad berkata, pihaknya membuat laporan itu agar polis dapat menjalankan siasatan segera dan mengambil tindakan sewajarnya.
Tegasnya, ini bagi menjaga nama baik Perdana Menteri, kestabilan politik, serta keharmonian hubungan serantau negara ini.- MalaysiaGazette
















