Aidi Amin Yazid.

 

KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) kerajaan Madani merupakan terjemahan konsep wasatiyyah yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membina sebuah negara yang seimbang dan berkeadilan.

Menurut Timbalan Setiausaha Agung PKR, Aidi Amin Yazid, pendekatan ini menjadi asas kepada perancangan pembangunan negara yang tidak hanya bersifat fizikal tetapi turut memberi penekanan kepada kesejahteraan sosial.

Katanya, konsep Ummatan Wasatan yang diangkat Perdana Menteri bermaksud pembangunan yang berpaksikan keseimbangan bukan sekadar mengejar kemajuan ekonomi sebaliknya memastikan hasilnya dirasai semua lapisan rakyat terutama golongan B40 dan masyarakat rentan.

“Pembangunan negara tidak boleh hanya dinilai melalui projek mega, tetapi mesti menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

“Nilai Ummatan Wasatan yang digariskan dalam Al-Quran masyarakat pertengahan yang adil dan seimbang adalah asas dalam membangunkan negara yang makmur,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Aidi, RMK-13 menjadi dokumen penting kerana ia menyusun semula keutamaan negara termasuk memperkukuh jaring keselamatan sosial dan memperluas akses kepada keperluan asas rakyat.

Jelasnya, inisiatif besar seperti pembinaan sejuta rumah mampu milik adalah bukti kerajaan mendengar rintihan rakyat mengenai jurang pemilikan rumah.

“Selain itu, langkah pelaksanaan subsidi bersasar bagi diesel dan elektrik, serta peningkatan kadar Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap tekanan kos sara hidup,” katanya lagi.

Aidi turut menekankan kejayaan Malaysia di peringkat antarabangsa menjadi bukti keberkesanan dasar yang sedang digerakkan.

“Malaysia kini berada di kedudukan ke-36 daripada 183 ekonomi terbesar dunia dan melonjak 11 tangga ke tempat ke-23 dalam IMD World Competitiveness Yearbook 2025.

“Ini pencapaian yang tidak boleh dinafikan dan wajar dijadikan dorongan untuk terus memperkukuh daya saing negara,” ujarnya.

Beliau juga memuji keberanian kerajaan dalam menguruskan fiskal negara dengan lebih bertanggungjawab.

“Defisit negara berjaya diturunkan daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 4.1 peratus pada tahun lalu, dan kerajaan menyasarkan penurunan sehingga 3.8 peratus pada tahun ini. Ini membuktikan kerajaan mengutamakan disiplin kewangan tanpa mengorbankan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Aidi menyeru rakyat agar memahami intipati RMK-13 sebelum membuat sebarang kritikan.

“RMK-13 bukan hanya pelan pembangunan, tetapi dokumen hala tuju yang mengangkat martabat rakyat dan memastikan tiada kelompok yang tertinggal. Sebelum mengkritik, bacalah dahulu intipatinya,” katanya sambil mengajak orang ramai melayari portal rasmi https://rmk13.ekonomi.gov.my untuk memahami perinciannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast