KUALA LUMPUR – Gara-gara perselisihan faham akibat tidak berpuas hati berkait hal kerja menjadi punca seorang lelaki bertindak mengacukan pisau kepada rakan sekerja di sebuah restoran di Ampang, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu, berlaku pertengkaran antara kedua-duanya di tempat kerja.
“Suspek cuba mengajak pengadu untuk pergi belakang kedai. Apabila mangsa menolak ajakan itu, suspek kemudian mengambil pisau dan mengacukan kepada lelaki itu.
“Akibat kejadian itu, berlaku pergelutan sebelum suspek memaksa pengadu pergi ke belakang kedai dan mangsa kemudian bertindak melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Azam, bertindak atas maklumat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menahan suspek kira-kira jam 11 malam pada Isnin.
“Semakan lanjut mendapati, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau telah direman selama tiga hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















