KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke 13 (RMK-13) merupakan satu pelan menyeluruh yang menandakan bermulanya fasa baharu pembangunan negara dengan pendekatan lebih adil, saksama dan berpaksikan rakyat.

Ketua Biro Komunikasi Wanita PKR, Norhayati Umor berkata rancangan tersebut disusun bukan hanya untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, dalam masa yang sama turut menumpukan pengagihan peluang secara adil, pemerkasaan golongan rentan, dan pembangunan bersifat menyeluruh.

Menurutnya, RMK-13 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam juga membawa harapan besar terhadap agenda pemerkasaan wanita dalam bidang ekonomi, sokongan keusahawanan wanita, akses pendidikan dan latihan serta transformasi digital yang inklusif.

Ini termasuk peningkatan kadar penyertaan wanita dalam pasaran kerja kepada 60 peratus, termasuk ibu yang mempunyai anak kecil, pusat penjagaan berkualiti diperluas dan latihan bersesuaian akan disediakan.

Inisiatif tersebut menunjukkan sokongan terhadap institusi keluarga dan kesejahteraan masyarakat sekali gus menjanjikan peluang adil dan saksama kepada semua, tanpa mengira jantina, kelas sosial mahupun latar belakang, sejajar dengan aspirasi keadilan sosial yang diperjuangkan oleh PKR sejak awal penubuhannya,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu beliau menyifatkan RMK-13 sebagai bukti kesungguhan perdana menteri untuk melakar semula hala tuju pembangunan negara dengan nilai kemanusiaan, kesaksamaan dan kebertanggungjawaban sebagai asas utama.

Justeru Norhayati berkata, wanita PKR akan menjadi pemangkin dan pemantau kepada pelaksanaan dasar ini di lapangan, agar manfaat RMK-13 benar-benar sampai ke seluruh masyarakat.

Pendekatan libat urus merentas sektor dan komuniti dalam penyusunan RMK-13 membuktikan bahawa suara rakyat, termasuk suara wanita, diambil kira dalam merangka dasar negara,” tambahnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast