JOHOR BAHRU – Pelantikan Dr Zaliha Mustafa sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor yang baharu dan Md Ysahrudin Kusni sebagai timbalannya mampu memberi nafas baharu dalam memperkukuh struktur dan jentera parti.
Ketua-ketua cabang PKR Johor dalam satu kenyataan bersama-sama melahirkan keyakinan gandingan itu berupaya memperhebat kesiapsiagaan PKR Johor dalam menghadapi cabaran politik semasa dan pilihan raya akan datang.
“Dr Zaliha Mustafa dengan pengalaman luas dalam politik dan pentadbiran serta rekod cemerlang dalam memperjuangkan agenda reformasi, diyakini mampu menerajui Keadilan Johor ke arah yang lebih dinamik dan inklusif.
“Md Ysahrudin Kusni pula merupakan tokoh muda yang aktif serta berpengalaman luas di peringkat akar umbi dan kepimpinan cabang.
“Pelantikan beliau sebagai Timbalan Pengerusi PKR Johor mencerminkan komitmen parti untuk memupuk barisan kepimpinan pelapis yang progresif dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan.
Mereka komited untuk memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap pimpinan baharu intu dalam memperkukuh gerak kerja parti, mendekati rakyat serta memperjuangkan isu-isu keadilan sosial dan kepentingan rakyat Johor secara menyeluruh.
“Dengan semangat perpaduan dan tekad yang jitu, kami percaya bahawa PKR Johor akan terus maju ke hadapan dan memainkan peranan penting dalam lanskap politik negara,” katanya.
Kenyataan bersama-sama itu melibatkan ketua-ketua cabang iaitu Md Ysahrudin (Bakri), Mohd Fakharuddin Moslim (Tenggara), Abdul Saad Salleh (Sri Gading), Khairil Adanan (Mersing), Arthur Chiong Sen Sern (Kulai), Mohd Shahrun Radzi (Sembrong), Rosman Tahir (Ayer Hitam), Roselin Nona (Muar), Haniff Hosman (Pontian), Sayful Ariffin Abdul Karim (Tanjung Piai), Ibrahim Mohd Nor (Kota Tinggi) dan Ravi Sankar (Labis),
Ini termasuk Hishamuddin Misrin (Parit Sulong), Murad Jailani (Pasir Gudang), Kalytas Chandrahasan(Kluang), Subramani Chami (Pagoh), Dr Mazlee Malik (Simpang Renggam), Shamala Sham (Iskandar Puteri), Shamala Vasudevan (Segamat), Prakash Maniam (Tebrau), Faezuddin Puad (Pulai) dan Pang See Keong (Sekijang).
Semalam, Zaliha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) diumumkan sebagai Pengerusi MPN PKR Johor yang baharu.
Pelantikan itu diumumkan menerusi kenyataan rasmi PWKRWARA sekali gus menyaksikan Ahli Parlimen Sekijang itu menggalas tanggungjawab menerajui kepimpinan parti di peringkat negeri.
Beliau menggantikan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh yang sebelum ini memegang jawatan tersebut.
Dalam masa sama, Ysahrudin yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MPN Johor yang baharu. – MalaysiaGazette
















