JOHOR BAHRU – Seorang pekebun Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan menjalankan penyeludupan enam migran warganegara Indonesia di Bangunan Sultan Iskandar, di sini, dua bulan lalu.

Tertuduh, Salim Ahmad, 61, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang memiliki Pemastautin Tetap (PR) dituduh menjalankan penyeludupan migran babitkan enam lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 25 hingga 47 tahun.

Pekebun itu didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 6 pagi di kaunter 04, Zon C, Kawalan Kereta Keluar di BSI, 14 Jun lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 26A Αkta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, dan boleh dikenakan denda, atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Imigresen, Nur Suriati Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan tidak mencadangkan jaminan kepada tertuduh memandangkan tertuduh adalah warganegara asing.

Mahkamah menetapkan 13 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Salim didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan menjalankan penyeludupan enam migran Indonesia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast