TMJ
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail

JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah akan memantau isu gangguan bekalan air di Johor yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini.

Baginda bertitah akan berikhtiar membantu menyelesaikannya susulan perasan kecewa yang diluahkan rakyat negeri ini berkenaan masalah tersebut.

Komitmen dizahirkan Tunku Mahkota Ismail itu adalah bagi menjawab hantaran akaun BrotherhoodJHR dalam aplikasi X rasmi baginda malam tadi.

Ini susulan akaun berkenaan meluahkan kekecewaan mengenai gangguan bekalan air di Pontian yang memasuki hari keempat.

“Saya akan pantau dan cuba selesaikan dengan segera. Ini pentingnya kita jaga air Johor, aset Johor sendiri dan bukan berada di bawah syarikat yang dilantik oleh Federal (Persekutuan).

“Doakan kewangan negeri meningkat di mana kita boleh beli saham air Johor dan meletakkan air negeri di bawah jagaan kerajaan negeri. Insya-Allah,” titah baginda dalam muat naik itu, malam tadi.

Muat naik Pemangku Sultan Johor itu menerima ratusan maklum balas daripada pengguna yang turut meluahkan rasa kecewa terhadap situasi bekalan air yang terputus, tekanan rendah dan kualiti air keruh di beberapa kawasan utama di Johor.

Seorang pengguna yang membalas muat naik berkenaan memaklumkan bahawa Pontian yang sebelum ini jarang mengalami gangguan, kini berdepan bekalan air kosong terutama pada waktu siang sejak Isnin lalu.

“Terima kasih atas respon Tuanku. Pontian jarang bekalan air terputus tapi sejak Isnin bekalan air kosong terutamanya waktu siang.

“Harap Tuanku boleh cari orang-orang yang terlibat dalam masalah ini dan tolong kita,” katanya yang menerima lebih 3,000 tanda suka.

Setakat pukul 12.36 tengah hari, hantaran berkenaan menerima lebih 36,000 tontonan, 123 menyiarkan semula, selain 539 tanda suka di platform berkenaan.

Isu gangguan bekalan air yang semakin kerap berlaku di Johor kebelakangan ini semakin meresahkan pengguna.

Pada Mei lalu, gangguan bekalan air dijangka berlaku susulan kerosakan pada enam pam air mentah di loji rawatan Sungai Johor akibat daripada hujan lebat yang menyebabkan loji itu ditenggelami air sekali gus ia terpaksa menghentikan operasi yang membabitkan pemprosesan 318 juta liter sehari.

Lebih 155,000 akaun pengguna membabitkan kira-kira 300,000 penduduk Johor Bahru terjejas selama beberapa hari menyebabkan pengguna berang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast