Fakharuddin Moslim

KOTA TINGGI – Tiada keperluan untuk membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) ketika ini, seperti yang dicadangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tenggara, Fakharuddin Moslim berkata, tempoh penggal pemerintahan Kerajaan Madani masih jauh malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mempunyai sokongan majoriti.

“Tun, pilihan raya masih jauh. Anwar Ibrahim masih ada sokongan kukuh dalam kalangan ahli Parlimen dan majoriti rakyat. Tiada keperluan untuk bubar Parlimen hanya kerana Tun tidak puas hati.

“Tun bebas bersuara, itu hak Tun. Tapi suara Tun bukan suara seluruh rakyat Malaysia. Rakyat kini lebih fokus pada kestabilan, bukan konflik politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Dr. Mahathir mencabar Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU segera bagi mengetahui sama ada mempunyai sokongan majoriti rakyat atau tidak.

Dr Mahathir berkata, tindakan membubarkan Parlimen adalah lebih berani daripada mencabar pembangkang mengemukakan usul tidak percaya di Dewan Rakyat.

Dakwanya, sekalipun usul tidak percaya dikemukakan, ahli Parlimen yang menyokong Perdana Menteri amat takut dengan tindakan yang akan dikenakan.

Mengulas lanjut, Fakharuddin mendakwa, Dr Mahathir pernah cuba menjatuhkan beberapa Perdana Menteri sebelum ini terutama selepas beliau melepaskan jawatan tersebut.

“Dari zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), (Datuk Seri) Najib Razak, (Tan Sri) Muhyiddin Yassin, (Datuk Seri) Ismail Sabri sampai sekarang Anwar. Sebab apa? Sebab Tun rasa hanya Tun yang betul.

“Tun kalah teruk di Langkawi, itu isyarat jelas. Rakyat, termasuk orang kampung Tun sendiri, sudah letih dengan politik lama dan retorik ulang tayang. Sudah-sudahlah Tun.

“Sekarang Anwar tengah bertungkus-lumus bekerja. Fokus kepada reformasi ekonomi, kebajikan rakyat, lawan rasuah, dan pulihkan negara. Janganlah ganggu, Tun,” ujarnya.

Dr Mahathir katanya, perlu terima hakikat masanya sudah berlalu dan cukuplah dua kali menjadi Perdana Menteri dan kini perlu memberi peluang kepada kepimpinan baharu untuk mencorak masa depan.

“Tun, jagalah kesihatan. Negara ini perlukan kedamaian dan kematangan politik, bukan mainan lama yang berulang-ulang. Berehatlah Tun,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast