Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan pelarasan tarif air selama setahun, daripada 1 Ogos 2025 kepada 1 Julai 2026.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, penangguhan itu membabitkan pelarasan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (Tariff Setting Mechanism – TSM) bagi Tempoh Pelaksanaan Kedua (TP2).

Katanya, keputusan itu akan memberi manfaat kepada seramai 715,957 pengguna air di negeri ini.

“Bagi pengguna domestik (isi rumah) yang menggunakan sehingga 35 meter padu air sebulan, iaitu 79.88 peratus daripada 613,660 pengguna, purata kenaikan bil air adalah antara RM0.30 hingga RM2.55 sebulan.

“Sementara itu, bagi pengguna bukan domestik (perniagaan) yang menggunakan sehingga 200 meter padu air sebulan, iaitu 95.38 peratus daripada 98,155 pengguna, purata kenaikan dijangka antara RM3.60 hingga RM35.70 sebulan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Kon Yeow, apabila dilaksanakan kelak, pelarasan tarif itu dijangka menambah hasil Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebanyak RM20 juta dalam tempoh enam bulan pertama pada tahun 2026.

“Hasil tambahan ini akan digunakan untuk melaksanakan projek-projek penaiktarafan perkhidmatan bekalan air secara menyeluruh, yang butirannya akan diumumkan kemudian,” katanya.

Pelarasan tarif ini adalah sebahagian daripada langkah pembaharuan sektor air negara yang dikendalikan menerusi kerjasama antara Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan kerajaan-kerajaan negeri bagi memastikan kelestarian bekalan air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast