UTM

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyerahkan sepenuhnya kepada polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap punca kematian Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UTM Skudai semasa di Hospital Kota Tinggi selepas menjalani latihan di Pulada, di sini.

UTM dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknnya memandang serius insiden tersebut dan akan memberi kerjasama penuh sepanjang proses siasatan dijalankan.

“UTM merakamkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin iaitu Pegawai Kadet Palapes UTM yang telah meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi (HKT) selepas selesai menjalani latihan di kawasan Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (Pulada), Ulu Tiram, di sini.

“Pihak kami mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

“Pada masa sama pihak universiti sudah menghubungi waris Allahyarham dan bersedia menyalurkan segala bentuk bantuan serta sokongan yang diperlukan.

“UTM komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa diutamakan,” menurut UTM dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini, ibu kepada pelatih Palapes berkenaan, menuntut agar siasatan segera dijalankan berhubung kematian anaknya sewaktu menjalani latihan dikendalikan pasukan itu Isnin lalu.

Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata anaknya, Syamsul Haris, 22, meninggal dunia ketika menjalani latihan Palapes UTM Pulada, Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pulada, Ulu Tiram dengan sebab kematian yang belum jelas serta meragukan.

Ibu tunggal itu berkata, pemerhatian terhadap jenazah anaknya sewaktu bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HIS) di sini mendapati kecederaan teruk pada tubuh jenazah anaknya yang tidak selaras dengan maklumat awal bahawa kematian anaknya berpunca daripada sawan.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Yusof Othman berkata, siasatan terpecinci dan menyeluruh akan dilakukan.

Katanya, ini termasuk merakam percakapan saksi-saksi dan pegawai perubatan yang terlibat bagi mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast