JOHOR BAHRU – Ranhill SAJ mengenal pasti kerosakan teknikal di Outlet Tangki Ulu Choh 1 serta kawasan berhampiran Kampung Sarpin, Pontian sebagai punca utama gangguan bekalan air luar jangka di beberapa kawasan di Pontian sejak Isnin lalu.
Operator air Johor itu memaklumkan, mereka berusaha sedaya upaya meminimumkan kesan gangguan bekalan air kepada pengguna di daerah itu termasuk dengan mengolah sistem agihan sedia ada.
“Bagaimanapun bekalan air di Pontian sudah kembali pulih seperti biasa selepas segala isu tersebut berjaya diatasi, hari ini.
“Ketika gangguan bekalan air berlaku, bekalan air alternatif turut disediakan menerusi lori-lori tangki dan tangki statik yang dihantar ke kawasan-kawasan strategik serta berdasarkan permintaan penduduk,” menurut satu kenyataan, hari ini.
Menurut Ranhill SAJ, pihaknya menjunjung kasih atas keprihatinan Tunku Mahkota Ismail, terhadap isu gangguan bekalan air yang berlaku.
“Insiden gangguan bekalan air telah ditangani mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Hari ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan bertitah, baginda akan memantau isu gangguan bekalan air Johor yang semakin kerap kebelakangan ini dan akan berikhtiar membantu menyelesaikannya.
Tunku Mahkota Ismail menjawab hantaran akaun BrotherhoodJHR, dalam aplikasi X rasmi baginda malam tadi, susulan akaun berkenaan meluahkan kekecewaan mengenai gangguan bekalan air di Pontian yang memasuki hari keempat.
“Saya akan pantau dan cuba selesaikan dengan segera. Ini pentingnya kita jaga air Johor, aset Johor sendiri dan bukan berada di bawah syarikat yang dilantik oleh kerajaan (Persekutuan).
“Doakan kewangan negeri meningkat di mana kita boleh beli saham air Johor dan meletakkan air negeri di bawah jagaan kerajaan negeri. Insya-Allah,” titah baginda dalam muat naik itu, malam tadi. – MalaysiaGazette
















