KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki ditemui maut selepas terjatuh
dari tingkat 8 di Flat Sri Perantau, Pelabuhan Klang, Selangor pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu jam 8 pagi.
“Hasil siasatan mendapati, kejadian itu berlaku di Blok J, Flat Sri Perantau, Pelabuhan Klang melibatkan mangsa merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.
“Ketika kejadian, bapa mangsa berada di tempat kerja manakala ibunya keluar dari rumah untuk menghantar anak kedua ke rumah pengasuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Kamalariffin, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) namun disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan sekitar jam 9 pagi tadi.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati, kanak-kanak malang itu maut selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi.
“Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 atas kesalahan pengabaian kanak-kanak ,” katanya. – MalaysiaGazette
















