Mangsa warga Bangladesh yang maut selepas MPV yang dipandu terbabas di Kilometer 200.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) hala Barat, semalam. Gambar: Ihsan PDRM.

KUANTAN – Tiga lelaki warga Bangladesh maut manakala dua lagi rakan senegara mereka cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang dinaiki terbabas di Kilometer 200.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) hala Barat, semalam.

Kemalangan tragis itu berlaku kira-kira pukul 7.30 malam ketika kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt. Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu dipercayai hilang kawalan sewaktu melalui laluan lurus sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan.

“Mangsa yang maut di lokasi dikenalpasti sebagai Md Sabber Hasan, 30, yang juga pemandu kenderaan dan tidak memiliki lesen memandu, Md Jahid Hasan, 21, serta Abdullah, 24,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk proses bedah siasat.

Dua penumpang lain yang cedera ialah Md Habib Bissas, 45, yang duduk di bahagian hadapan dan mengalami kecederaan di kepala, serta Maniram Chandra Bas, 40, yang duduk di belakang dan mengalami kecederaan pada anggota badan.

“Kedua-dua mangsa dihantar ke HTAA dan ditempatkan di Zon Rawatan Hijau untuk menerima rawatan lanjut,” tambah beliau.

Mohd Adli berkata, pemeriksaan awal mendapati kenderaan tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dan cukai jalannya telah tamat tempoh sejak Mei lalu.

“Pemandu kenderaan juga tidak memiliki lesen memandu yang sah. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk pemeriksaan ke atas kenderaan oleh PUSPAKOM, selain usaha mengesan saksi kejadian dan majikan kepada kesemua mangsa.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Insp. Aizuddin Arif Asha’ri di talian rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan atau mana-mana balai polis berhampiran.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan memastikan kenderaan dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan, khususnya ketika memandu di lebuh raya pada waktu malam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast