KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 menzahirkan komitmen penting kerajaan dalam memartabatkan Islam sebagai nilai utama dalam tadbir urus negara, selaras dengan kedudukannya sebagai agama Persekutuan.
Menurut Timbalan Presiden Amanah, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, peruntukan besar yang disediakan dalam RMK-13 membuktikan kesungguhan kerajaan bagi memastikan Islam terus menjadi asas pembentukan dasar dalam pentadbiran negara.
“RMK-13 yang berteraskan kerangka Ekonomi MADANI tidak hanya menumpukan kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi juga memberi penekanan kepada nilai moral, integriti dan etika Islam yang menjadi teras kepada pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebanyak RM133 bilion diperuntukkan bagi sektor nilai dan kesejahteraan rakyat, termasuk untuk pembangunan serta kemajuan Islam.
Manakala, sektor teknologi pentadbiran dan pendigitalan yang melibatkan aspek pentadbiran Islam turut menerima peruntukan sebanyak RM17 bilion.
Mujahid berkata, antara fokus utama dalam RMK-13 ialah penekanan terhadap prinsip Maqasid Syariah sebagai asas pentadbiran negara.
Pendekatan ini katanya, akan diperluaskan dalam dasar negara merangkumi pelbagai sektor termasuk kesihatan, pendidikan, ekonomi dan keselamatan sosial.
“Kerajaan turut memberi tumpuan kepada penambahbaikan kecekapan institusi Islam melalui pentadbiran berteraskan Maqasid Syariah.
“Selain itu, usaha penyelarasan antara institusi Islam di peringkat Persekutuan dan negeri akan dipertingkat menerusi prinsip musyawarah dan amanah, dalam usaha menyelaraskan undang-undang syariah yang sering mengalami pertindihan antara negeri dan Persekutuan.
“Langkah ini penting untuk mengelakkan konflik yang boleh menimbulkan polemik tidak produktif kepada umat Islam dan negara,” tegas Dr Mujahid.
Mengulas lanjut Mujahdi yang juga Ahli Dewan Negara berkata, RMK-13 juga memperkenalkan transformasi digital dalam perkhidmatan Islam seperti pelaksanaan sistem e-nikah, e-fatwa, e-zakat dan MyMasjid.
Perkhidmatan ini katanya, disokong oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) dan data raya untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran agama.
“Malah, pembangunan Sistem Maklumat Pintar Islam (Islamic Intelligence System) akan menjadi pintu akses dakwah serta membentuk piawaian validasi kandungan Islam yang sahih sebagai rujukan umum,” ujarnya.
Dalam aspek ekonomi pula kata beliau, RMK-13 memberi penekanan kepada peluasan sektor wakaf dan digitalisasi zakat bagi memaksimumkan kutipan serta agihan kepada golongan asnaf.
“Malaysia juga terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab halal global dengan sasaran pasaran bernilai AS$7 trilion menjelang 2030.
“Negara dijangka meraih manfaat sebanyak AS$113.2 bilion dalam sektor ini menjelang tahun tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, masjid turut diberikan peranan yang lebih menyeluruh sebagai pusat komuniti setempat melalui program dakwah sosial, sokongan psikospiritual dan khidmat kemasyarakatan.
Konsep Masjid Madani dan Rahmah menjadi fokus utama dalam usaha tersebut.
Mujahid menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mendukung pelaksanaan RMK-13 demi mencapai aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang bukan sahaja makmur dari sudut material, tetapi juga berteraskan nilai adab dan akhlak.
Dalam pada itu Mujahid berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan dalam ucapannya bahawa Islam bukan sekadar slogan, tetapi asas nilai yang memimpin dasar negara.
“Islam bukan untuk menghukum, tetapi untuk membimbing dan menyantuni.” Kataya.
Justeru menurut Mujahid, kenyataan itu harus difahami oleh semua institusi pentadbiran Islam di peringkat negeri dan Persekutuan sebagai asas kepada reformasi menyeluruh berlandaskan nilai rahmah, amanah, hikmah, muafakat, adil dan saling menghormati. – MalaysiaGazette
















